Sidang Khas Parlimen: Wujudkan piawai persidangan hibrid - Pakar Perlembagaan

Astro Awani
Jun 26, 2021 14:11 MYT
Shamrahayu Ab Aziz berkata, pindaan itu akan memastikan prasarana perundangan dapat diwujudkan mengikut format baharu itu. - Foto fail
KUALA LUMPUR: Sidang Khas Parlimen penting untuk diadakan bagi menetapkan satu piawai perjalanan persidangan secara hibrid yang memenuhi Peraturan Mesyuarat Dewan Rakyat dan Dewan Negara.
Pakar Perlembagaan, Prof Datuk Shamrahayu Ab Aziz berkata, pindaan itu akan memastikan prasarana perundangan dapat diwujudkan mengikut format baharu itu.
"Pindaan ini bukan kerana darurat sahaja, sebaliknya, kerana prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan di bawah Akta 342.
"Walaupun, sekiranya tiada darurat, eloklah juga ada peraturan tertentu supaya di masa depan kelak, sekiranya berlaku keadaan sebegini, sekurang-kurangnya Parlimen telah menyediakan prasarana perundangan itu dalam konteks peraturan mesyuarat," katanya ketika dihubungi Astro AWANI hari ini.
Beliau yang juga Penyandang Kursi Institusi Raja-Raja Melayu, Universiti Teknologi MARA (UiTM) berkata demikian sebagai mengulas kenyataaan yang dikeluarkan Yang di-Pertua Dewan Negara dan Yang di-Pertua Dewan Rakyat pada Jumaat.
Dalam kenyataan bersama itu, Tan Sri Rais Yatim dan Datuk Azhar Azizan Harun berkata satu Sidang Khas Parlimen itu penting untuk memastikan semua Ahli Parlimen mengambil bahagian dalam perincian mengenai hal-hal resolusi yang diperlukan untuk diterima pakai berkaitan perancangan mengadakan sidang Parlimen secara hibrid merangkumi beberapa pindaan ke atas Peraturan Mesyuarat, takrif-takrif persidangan maya, penyelarasan tanggungjawab Ahli Parlimen serta perkara-perkara teknikal yang berkaitan.
Mengulas lanjut, Shamrahayu berkata, pindaan atau ketetapan baharu itu turut dijangka melibatkan imuniti seseorang yang terlibat semasa persidangaan, sama ada berada di dalam dewan, perkarangan Parlimen atau di luar Parlimen.
"Sekiranya ada peraturan yang telah dijelaskan melalui keputusan yang dibuat oleh sidang khas itu, maka ia boleh melindungi sama ada mereka itu berada dalam Dewan (Rakyat atau Negara), atau berada dalam bangunan atau di luar Parlimen, ia perlu dinyatakan.
"Kalau pun ia tidak dinyatakan, pada pandangan saya melihat kepada Perkara 63 Perlembagaan Persekutuaan, mereka juga masih dilindungi oleh imuniti atau keistimewaan Parlimen.
"Namun, dengan syarat mereka berpatisipasi atau terlibat dalam urusan Parlimen atau bisnes Parlimen itu," kata beliau lagi.
\
Panggilan Video | Memahami pentingnya sidang khas Parlimen
Menurut kedua-dua Speaker itu juga, sekiranya cadangan itu diterima oleh kedua-dua Dewan, sedikit masa lagi diperlukan oleh Parlimen Malaysia untuk memperolehi bekalan, mengintegrasikan sistem persidangan hibrid dengan sistem sedia ada, ujian (trial-run), pentauliahan dan juga latihan kepada petugas dan juga Ahli-ahli Parlimen.
Sekiranya semuanya selesai, Parlimen menjangkakan persidangan secara hibrid boleh diadakan sekitar akhir Ogos ataupun selewat-lewatnya minggu pertama September 2021.
#Dewan Rakyat #Dewan Negara #Parlimen #Shamrahayu Ab Aziz #Rais Yatim #Azhar Azizan Harun #Parlimen hibrid
;