Sidang Khas Parlimen medan terbaik perjelas kepincangan tangani bencana banjir - REFSA
Raja Hisyam Raja Zaid
Januari 16, 2022 15:33 MYT
Januari 16, 2022 15:33 MYT
KUALA LUMPUR: Sidang Khas Parlimen pada 20 Januari ini yang akan membahaskan isu berkenaan banjir yang melanda negara baru-baru ini adalah medan terbaik bagi pihak kerajaan menjelaskan segala kepincangan yang berlaku ketika bencana itu melanda.
Menurut Koordinator Program Research For Social Advancement (REFSA) Fakhrurrazi Rashid, sidang itu juga membolehkan pihak kerajaan dan juga pembangkang memikirkan langkah terbaik untuk memperbaiki dan memperkemaskan lagi kekuatan yang sedia ada.
“Apa yang saya rasa lebih penting dalam sidang khas itu nanti adalah bagaimana kerajaan dapat memberi satu penerangan ataupun perincian tentang apa yang sebenarnya berlaku dan masalah-masalah berbangkit yang kita dapat lihat dalam sosial media dan sebagainya ketika banjir tahun lepas dan awal tahun ini.
“Ini adalah peluang kepada pihak kerajaan dan pembangkang bekerjasama dimana pihak pembangkang juga boleh mengutarakan beberapa cadangan. Pada saat ini saya kira pembangkang telah memberi pelbagai cadangan yang sebenarnya agak relevan,” jelasnya kepada Astro AWANI.
Dalam masa yang sama juga katanya, kerajaan perlu melihat pandangan-pandangan daripada ahli-ahli Parlimen yang menyokong kerajaan itu sendiri untuk membuka ruang perbahasan dasar yang lebih jelas.
Ini kerana berdasarkan keadaan semasa pihak kerajaan harus melihat setiap ruang yang perlu diperbaiki itu dilaksanakan tanpa sebarang alasan dalam konteks perlaksanaan yang mampan seperti diharapkan oleh rakyat.
“Kita harus akui bahawa jentera kerajaan pada hari ini masih dalam keadaan atau berada dalam zon selesa. Peristiwa bencana banjir yang berlaku menunjukan bahawa segala pendekatan yang kerajaan fikir berkesan satu ketika dahulu sudahpun berakhir dan perlu pendekatan yang lebih menyeluruh,” katanya lagi.
Keputusan dalam menangani bencana banjir baru-baru ini juga katanya tidak harus hanya bergantung kepada kerajaan Pusat semata-mata.
Malah katanya peranan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) sebagai badan yang dipertanggungjawabkan dalam bencana banjir tidak berfungsi dengan efektif sebagaimana yang sepatutnya berlaku.