Sidang Kemuncak Wanita pada 20 Ogos

Bernama
Ogos 5, 2013 23:00 MYT
Sidang Kemuncak Wanita Ke-11 anjuran Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat akan diadakan di Pusat Konvensyen Sime Darby pada 20 Ogos.
Menterinya, Datuk Rohani Abdul Karim berkata sidang kemuncak sehari itu bertujuan menghimpunkan ahli perniagaan, pengarah dan usahawan masa depan untuk mengkaji pelbagai cara mencapai impian mereka.
"Sidang kemuncak ini merupakan peluang penting bagi wanita di Malaysia membincangkan langkah mentadbir dasar dan pembaharuan apabila wanita diberi peluang menerajui kepimpinan di tempat kerja bagi merealisasi visi negara," katanya dalam satu kenyataan.
Beliau berkata siri Sidang Kemuncak Wanita adalah acara tahunan yang dinamik dan bertenaga apabila pemimpin wanita cemerlang daripada sektor korporat Malaysia berkongsi pengalaman, menyuarakan kebimbangan berkaitan tempat kerja serta mengemukakan pendapat berhubung bagaimana hak mereka boleh dipertingkat, seperti termaktub dalam undang-undang, ekonomi serta pembaharuan kebudayaan.
Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dijangka merasmikan sidang kemuncak itu.
#datuk rohani karim #sidang kemuncak wanita