Sidang Kemuncak Perniagaan ASEAN-India kali kelima berlangsung di Kuala Lumpur

Bernama
Februari 27, 2023 20:20 MYT
Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil akan menyampaikan ucaptama pada Sidang Kemuncak Perniagaan ASEAN-India kelima yang akan berakhir dengan majlis makan malam gala dan anugerah kecemerlangan perniagaan. - Gambar BERNAMA
KUALA LUMPUR: Sidang Kemuncak Perniagaan ASEAN-India kelima, yang menjadi platform penting bagi merangka pelan hala tuju masa depan untuk perniagaan dan ekonomi kedua-dua pihak akan diadakan di Hotel Berjaya Times Square di sini pada 6 Mac.
Sidang kemuncak bertemakan "Strengthening and Moving Forward ASEAN-India Economic Relations for a Strategic Business Partnership" merupakan sebahagian acara daripada Tahun Persahabatan ASEAN-India sempena memperingati ulang tahun lebih tiga dekad antara India dan blok 10 anggota itu.
Pesuruhjaya Tinggi India ke Malaysia, B.N.Reddy berkata memandangkan hubungan dua hala India-Malaysia kini memasuki 65 tahun, perdagangan dan pelaburan dua hala antara India-Malaysia akan menjadi tumpuan pada sidang kemuncak itu.
"Sesi ini akan memberi tumpuan kepada memperkukuh lagi hubungan perdagangan India-Malaysia dan memperluaskan penglibatan perniagaan dalam bidang lain termasuk perkongsian teknologi digital dan fintech, antara lain.
"Ia akan meneroka peluang dan cara untuk mempergiat perdagangan dua hala dan penglibatan pelaburan bagi manfaat bersama kedua-dua negara," katanya pada sidang media di sini semalam.
Reddy berkata Sidang Kemuncak ASEAN-India ke-19 yang diadakan pada November 2022 memutuskan untuk meningkatkan hubungan ASEAN-India kepada Perkongsian Strategik Komprehensif (CSP) dengan tumpuan diperbaharui antara lain, meluaskan kerjasama dalam perdagangan, pelaburan, ekonomi digital, syarikat permulaan dan pembangunan mampan.
Sementara itu, pengerusi bersama Majlis Perniagaan ASEAN-India, Datuk Ramesh Kodammal berkata, sidang kemuncak itu menawarkan peluang kepada syarikat ASEAN dan India untuk bekerjasama melalui pelbagai inisiatif atau usaha sama bagi meningkatkan penyertaan dan peranan mereka dalam aktiviti rantaian nilai serantau dan global.
Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil akan menyampaikan ucaptama pada sidang kemuncak yang akan berakhir dengan majlis makan malam gala dan anugerah kecemerlangan perniagaan kepada 12 syarikat ASEAN dan India.
Sidang kemuncak itu disokong Kerajaan India, melalui Bahagian Diplomasi Ekonomi Kementerian Hal Ehwal Luar India, dengan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri Malaysia dan Persekutuan Dewan dan Perdagangan India (FICCI).
-- BERNAMA
#Fahmi Fadzil #Sidang Kemuncak Perniagaan ASEAN-India #Pesuruhjaya Tinggi India ke Malaysia #hubungan dua hala India-Malaysia