Sidang Kemuncak Mobilisasi Belia Asia- Pasifik 2023 perkasa pendidikan bukan formal

Faida Rahim
Jun 16, 2023 21:11 MYT
Sidang ini mempunyai objektif mengkaji, membentuk dan menguji satu projek rintis dalam kalangan orang muda organisasi belia berkaitan dengan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG).- Gambar Asia Pacific Youth
KUALA LUMPUR: Seramai 150 orang peserta dari 22 negara rantau Asia-Pasifik menyertai Sidang Kemuncak Mobilisasi Belia Asia- Pasifik 2023 pada 15 hingga 18 Jun ini di Petaling Jaya.
Pengarah sidang kemuncak berkenaan, Theodorus Clarence Tessensohn menjelaskan, acara itu menjadi permulaan kepada usaha memperkasakan pendidikan bukan formal serta pembangunan orang muda dengan kompetensi diperlukan selaras Pelan Rantau Asia-Pasifik 2022-2025
“Sidang ini menyediakan landasan bagi orang muda membina kompetensi yang diperlukan untuk menyelesaikan isu dalam komuniti tempatan dan global selain mempunyai objektif untuk mengkaji, membentuk dan menguji satu projek rintis dalam kalangan orang muda organisasi belia berkaitan dengan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG).
"Melalui sidang kemuncak ini, sekurang-kurangnya sebuah projek kolaborasi peringkat rantau Asia-Pasifik dan satu di peringkat kebangsaan akan diimplementasikan dalam masa tiga tahun.
"Kesannya, projek ini akan menjadi sumber inspirasi untuk pelbagai projek kolaborasi dilaksanakan di negara-negara lain, negeri-negeri di Malaysia dan seterusnya ke peringkat akar umbi," katanya.
Majlis pembukaan sidang kemuncak dirasmikan Pemangku Ketua Pengakap Negara, Prof. Datuk Mohd Zin Bidin.
Sidang kemuncak yang julung kalinya diadakan itu, menggalas objektif menyediakan landasan bagi orang muda membina kompetensi diperlukan untuk menyelesaikan isu dalam komuniti tempatan dan global.
Program anjuran Persekutuan Pengakap Malaysia (PPM) itu menyediakan landasan untuk organisasi- organisasi belia meneroka dan mengkaji cara mereka bekerjasama dalam satu projek kolaborasi.
Lima organisasi belia peringkat antarabangsa yang menyertai sidang kemuncak itu adalah WOSM, World Assosiation of Girl Guides and Girl Scouts (WAGGGS), The International Federation of Red Cross and Red Crescent Societies (IFRC), Young Men's Christian Association (YMCA) dan The Duke of Edinburgh.
Sepanjang empat hari penganjurannya, lima organisasi belia terlibat akan berkongsi amalan terbaik melaksanakan berhubung mobilisasi belia dan kerjasama untuk pembangunan mampan.
#Belia #pendidikan #Sidang Kemuncak Mobilisasi Belia Asia- Pasifik 2023
;