Sidang Kemuncak Khas ASEAN-Australia: Malaysia gariskan lima bidang tumpuan untuk diperkukuhkan
Astro Awani
Mac 6, 2024 08:50 MYT
Mac 6, 2024 08:50 MYT
MELBOURNE : Bagi memperkukuhkan hubungan akrab ASEAN-Australia, Malaysia menggariskan lima bidang tumpuan untuk diperluaskan.
Ia termasuk mengukuhkan ekosistem perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) dalam kalangan ASEAN khususnya melalui transformasi digital, pembinaan kapasiti, akses pasaran, amalan mampan, dan membolehkan penyertaan saksama
“Kami mengharapkan kerjasama dengan Australia ketika ASEAN berusaha untuk mempercepatkan perjalanan peralihan tenaganya.
“Dalam kita melalui proses ini, kita harus mengambil kira keperluan ekonomi yang berbeza antara satu sama lain dan bergerak untuk memastikan peralihan itu adil, inklusif dan saksama untuk semua, di mana isu berkaitan kewangan iklim, insentif, teknologi dan infrastruktur ditangani dengan secukupnya.
“Di bawah Protokol Kedua Perjanjian Perdagangan Bebas ASEAN-Australia-New Zealand, kita harus mempercepatkan penggunaan dan penglibatan perniagaan, terutamanya untuk PMKS. Malaysia komited terhadap pembangunan PMKS sebagai pemacu pekerjaan, inovasi dan dinamik ekonomi,” ujarnya.
Beliau berkata demikian pada sesi pleno Sidang Kemuncak ASEAN-Australia pada Rabu di Pusat Konvensyen dan Pameran Melbourne (MCEC).
Ia juga menandakan ulang tahun ke-50 hubungan dialog Australia dengan ASEAN.
Perdana Menteri berkata, bidang tumpuan kedua bagi mempererat hubungan ASEAN-Australia adalah transisi tenaga, khususnya pada ketika Malaysia mahu mencapai peralihan saksama dalam sektor teknologi, pelepasan gas rumah hijau sifar bersih menjelang 2050, dalam Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara.
“Kita sedia bekerjasama dengan Australia ketika ASEAN mahu mempercepatkan perjalanan transisi tenaga. Saya mahu berkongsi bahawa Malaysia akan menjadi hos Forum Pekerjaan Hijau ASEAN tahunan yang pertama di Kuala Lumpur bulan depan, dengan sokongan Australia.
“Inisiatif merentas sektor ini dijangka menyumbang kepada pekerjaan hijau dan pembangunan kemahiran hijau di rantau ini,” katanya,
Bagi memantapkan kesalinghubungan ASEAN-Australia yang juga bidang tumpuan ketiga dicadangkan oleh negara ini, Perdana Menteri turut berkongsi bahawa Malaysia akan menjadi hos bersama Forum Kesalinghubungan Maritim dengan Australia dan Korea Selatan pada Jun ini.
“Pakar akan berbincang mengenai pendigitalan dan automasi pendigitalan, dengan pandangan untuk terus mengukuhkan lagi kapasiti infrastruktur kita,” katanya.
Antara tumpuan lain termasuk pembangunan modal insan, Anwar menggalakkan kerjasama berkenaan Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) untuk terus diperluaskan merangkumi disiplin baharu seperti teknologi hijau, Revolusi Perindustrian Keempat (Industri 4.0) dan kecerdasan buatan.
Dalam pada itu, Anwar menjelaskan bahawa Malaysia, Australia dan Timor Leste berjaya melaksanakan program pembinaan kapasiti tiga hala pada 2023, bagi memudahcara peralihan Timor Leste kepada keanggotaan penuh ASEAN.
Ujarnya, pihaknya sedang berbincang berkenaan perkara itu yang akan dilaksanakan lewat tahun ini.
Sidang kemuncak ini dihadiri semua negara anggota ASEAN kecuali Myanmar serta turut disertai tiga negara jemputan melibatkanNew Zealand, Timor Leste dan Papua New Guinea.
Australia menjadi Rakan Dialog ASEAN yang pertama pada tahun 1974, status rasmi yang diberikan kepada sebuah negara untuk mengeratkan hubungan dan Rakan Strategik Komprehensif ASEAN pada tahun 2021.
Ini adalah kali kedua Australia menjadi tuan rumah kepada pemimpin negara anggota ASEAN selepas sidang kemuncak khas pertama yang diadakan pada Mac 2018.