Sidang Kemuncak ASEAN secara maya bermula semasa dunia berdepan COVID-19

Bernama
Jun 26, 2020 13:02 MYT
Delegasi Malaysia diketuai Muhyiddin menyertai sidang kemuncak tersebut dari Putrajaya. Turut kelihatan, Hishammuddin dan Azmin. --fotoBERNAMA
Sidang Kemuncak ASEAN ke-36 bermula hari ini, dengan para pemimpin berkumpul di 10 bandar di rantau ini buat pertama kalinya, susulan pandemik COVID-19.
Pengerusi ASEAN bagi 2020 Perdana Menteri Vietnam Nguyen Xuan Phuc, mempengerusikan upacara pembukaan sidang kemuncak itu di Hanoi, yang disertai pemimpin lain di negara mereka masing-masing.
Delegasi Malaysia, diketuai Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin, menyertai sidang kemuncak tersebut dari Putrajaya.
Turut serta dalam delegasi Malaysia ialah Menteri Luar Negeri Datuk Seri Hishammuddin Hussein dan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, serta Ketua Setiausaha Kementerian Luar Datuk Seri Muhammad Shahrul Ikram Yaakob.
Upacara pembukaan di Hanoi, yang disiarkan secara langsung di Facebook antara lain termasuk persembahan tradisional dan koir lagu rasmi ASEAN.
Dalam ucapan perasmiannya, Xuan Phuc mengalu-alukan para pemimpin ke sidang kemuncak itu dan menerangkan mengenai hasil positif rantau itu dalam pengurusan COVID-19 melalui semangat perpaduan yang ditunjukkan oleh negara-negara anggota.
"ASEAN telah mengambil tindakan tepat pada masanya sebagai komuniti yang responsif dan bersatu. Jaringan tindak balas kecemasan kesihatan dan kerjasama dengan rakan anggota diaktifkan sejak hari pertama lagi. Negara-negara ASEAN telah terlibat dalam perkongsian maklumat aktif dalam koordinasi dan kawalan penyakit.
"Hasil komitmen peringkat tertinggi dan pendekatan komprehensif yang kukuh di peringkat nasional dan serantau, ASEAN secara keseluruhannya telah mewujudkan kekuatan kelompok bersepadu yang penuh semangat perkongsian dan prihatin," katanya.
Ditubuhkan pada 1967, ASEAN terdiri daripada 10 negara - Indonesia, Malaysia, Singapura, Brunei, Kemboja, Laos, Myanmar, Filipina, Thailand dan Vietnam.
-- BERNAMA
#ASEAN #COVID-19 #Facebook #Hanoi #Muhyiddin Yassin #Nguyen Xuan Phuc #perpaduan #Putrajaya #Sidang Kemuncak ASEAN #Vietnam
;