Sidang Kemuncak ASEAN: Pemusatan ASEAN bantu bina kekukuhan, kesepaduan

Madiha Abdullah
September 4, 2023 22:52 MYT
Zambry berkata, ini termasuklah pembinaan muafakat dalam setiap pertemuan dan perbincangan bagi mencapai keputusan bersama. - Bernama
KUALA LUMPUR: Penekanan terhadap konsep pemusatan ASEAN perlu menjadi fokus dalam membina kesepaduan dan kekuatan ASEAN.
Menteri Luar Negeri, Datuk Seri Dr. Zambry Abd Kadir berkata, ini termasuklah pembinaan muafakat dalam setiap pertemuan dan perbincangan bagi mencapai keputusan bersama, sekali gus menyerlahkan ASEAN sebagai satu kuasa yang kuat.
"Contohnya, isu peta yang diumumkan pihak China, tentunya di peringkat negara ASEAN melibatkan negara lain seperti Filipina dan Vietnam yang juga merupakan anggota ASEAN.
"Namun dalam semangat ASEAN, dibincangkan pendekatan terbaik supaya apabila mencapai satu keputusan, ia berlandaskan peraturan antarabangsa, mengikut code of conduct dan pendekatan yang digunakan dalam isu, dibincangkan dan matlamatnya ialah mencari penyelesaian yang terbaik," katanya dalam program Agenda AWANI, pada Isnin.
Agenda AWANI: Sidang Kemuncak ASEAN | 'ASEAN Centrality'
Beliau mengulas tentang Persidangan Kemuncak ASEAN ke-43 yang sedang berlangsung ketika ini di Jakarta.
Sidang Kemuncak ASEAN ini juga, kata Zambry, merupakan ruang terbaik dalam memperkenal dan memperjelas agenda Malaysia Madani kepada ASEAN, yang bukan hanya bersifat material malah mencakupi aspek pembangunan insan, kebersamaan dan ketinggian nilai.
"Malaysia tidak boleh berdiri sendiri tanpa mempunyai rangkaian ekonomi yang baik di peringkat rantau, demikian juga anggota lain kerana kita mempunyai kebergantungan supaya supply chain dalam konteks ASEAN dapat dilakukan sebaik-baiknya dapat sama-sama memakmurkan satu sama lain.
"Itulah polisi yang dibawa Malaysia kepada ASEAN, iaitu membangun bersama. Inilah intipati Malaysia Madani iaitu kita makmur bersama," jelas beliau.
#Sidang Kemuncak ASEAN #Zambry Abdul Kadir #ASEAN
;