Sidang Kemuncak ASEAN ke-42 sangat bermakna - PM Anwar
Ridauddin Daud
Mei 11, 2023 15:15 MYT
Mei 11, 2023 15:15 MYT
LABUAN BAJO: Perdana Menteri menganggap Sidang Kemuncak ASEAN ke-42 yang berakhir pada Khamis sangat bermakna bukan hanya kepada Malaysia malah kepada negara anggota.
Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, persidangan itu berjaya memperkukuh dan meningkatkan kerjasama serantau dalam hubungan antara negara, bidang ekonomi, pertahanan dan sosial.
Menurutnya, Presiden Indonesia, Joko Widodo memulakan persidangan dengan menyentuh persepsi dunia yang seolah-olah melihat ada kelemahan dalam pentadbiran ASEAN.
Begitupun, tegas Perdana Menteri, tanggapan sebegitu meleset apabila persidangan pada kali ini dilihat membangkitkan banyak isu serantau.
“Sidang ini telah mengusul beberapa isu pokok, memperkukuh hubungan, meningkatkan kerjasama, kemudian mengangkat semula keupayaan ASEAN.
“Isu seperti yang saya bangkitkan, menggunakan dana kewangan negara masing-masing yang saya rasa selari dengan harapan kita untuk membentuk Tabung Kewangan Asia (AMF).
“Pada peringkat ini, dagangan antara negara boleh menggunakan dana negara masing-masing,” katanya.
Mengulas mengenai AMF, PM Anwar memaklumkan usul tersebut mendapat respons positif pemimpin ASEAN namun menegaskan ia masih di peringkat awal.
Beliau berkata pada sidang media bersama pengamal media tempatan di Labuan Bajo selepas selesai menyertai persidangan pada Khamis.
Tambah beliau, isu yang dianggap rumit dan kontroversi iaitu krisis Myanmar juga dapat dirumuskan dengan lebih baik dalam Sidang Kemuncak ASEAN ke-42.
“Negara-negara nampak kekal pertahanan prinsip Konsensus Lima Perkara (5PC) itu, iaitu yang menyentuh soal kemanusiaan, soal penyelesaian mengikut rukun antarabangsa dan lain-lain.
“Tapi ASEAN juga memberi ruang supaya ada kemungkinan secara tidak rasmi, berunding terus…bukan sahaja dengan militan Junta tapi semua yang terlibat.
“Saya tentunya mengambil pendirian yang lebih jelas, kerana menangguhkan penyelesaian isu Myanmar ini memberi beban kepada jiran.
“Ia terutamanya Rohingya dan beberapa suku kaum lain dari Myanmar yang sudah mencecah lebih 200,000 di Malaysia,” ujarnya.
Dalam persidangan kali ini, pemimpin ASEAN turut membincangkan isu keselamatan di rantau berkenaan.
“Ada kebimbangan rantau ini kembali menjadi medan pertarungan seperti yang pernah berlaku pada zaman perang dingin dulu.
“ASEAN nampak memperteguhkan pendirian untuk mempertahankan pendiriannya sebagai zon bebas dan mengelak daripada terlibat dalam pertarungan dua atau tiga kuasa besar,” katanya.
Selepas tiga hari berada di Labuan Bajo, Perdana Menteri bersama isteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dan delegasi Malaysia terbang ke Kuala Lumpur kira-kira jam 2 petang.
Penganjuran sidang kemuncak itu menyaksikan kira-kira 1,000 delegasi dari 10 buah negara anggota ASEAN hadir sepanjang tempoh tiga hari persidangan.