Sidang Kemuncak ASEAN ke-42: Anwar, Jokowi bincang lima agenda dalam pertemuan dua hala

Ridauddin Daud
Mei 9, 2023 18:27 MYT
Lima agenda disentuh dalam Mesyuarat Dua Hala melibatkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Presiden Indonesia, Joko Widodo pada Selasa.
LABUAN BAJO: Lima agenda disentuh dalam Mesyuarat Dua Hala melibatkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Presiden Indonesia, Joko Widodo pada Selasa.
Pertemuan empat mata itu berlangsung sehari sebelum Sidang Kemuncak ASEAN ke-42 yang akan berlangsung pada 10 dan 11 Mei 2023 di Labuan Bajo, Nusa Tenggara Timur, Indonesia.
Dalam pertemuan itu, Anwar mengulangi jemputan agar Jokowi mengadakan lawatan rasmi ke Malaysia pada Jun 2023 susulan lawatan rasmi Perdana Menteri ke Indonesia pada 8 dan 9 Januari lepas.
BACA: Sidang Kemuncak ASEAN ke-42: Perdana Menteri, isteri tiba di Labuan Bajo
Selain itu, Perdana Menteri menegaskan Malaysia bersedia menyokong penganjuran Suruhanjaya Kerjasama Dua Hala Ke-17 (JCBC) dan Rundingan Tahunan Ke-14 pada tahun ini.
Malaysia juga sedang melengkapkan prosedur domestik bagi membolehkan perjanjian Border Crossing Agreement (BCA) dan Border Trade Agreement (BTA) ditandatangani.
Perjanjian itu boleh ditandatangani semasa Lawatan Rasmi Presiden Republik Indonesia ke Malaysia atau semasa Rundingan Tahunan Ke-14, selepas mengambil maklum perjanjian itu sudah dimuktamadkan.
Penyertaan Timor Leste, krisis Myanmar antara tumpuan
Agenda keempat yang dibincangkan ialah berkaitan Pembatasan Sempadan Maritim dan Darat antara Malaysia dan Indonesia.
Bagi Sempadan Maritim, Malaysia bersedia memuktamadkan Triti Pembatasan Sempadan Maritim antara Malaysia dan Indonesia di Kawasan Paling Selatan Selat Melaka dan Triti Pembatasan Sempadan Maritim di Laut Sulawesi.
Bagi Sempadan Darat pula, Malaysia bersedia untuk menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) Pulau Sebatik dan Sinapad-Sesai di Sektor Sabah-Kalimantan Utara pada tahun 2024.
Isu sesebuah negara tidak boleh terus hambat pembangunan ASEAN
Malaysia akan menandatangani MoU tersebut selepas kerja pengukuran di lapangan dan dokumentasi selesai.
Sementara itu, Agenda kelima yang dibangkitkan ialah Malaysia menekankan kedua-dua pihak untuk mematuhi pelaksanaan MoU Common Guidelines.
Ia adalah bagi menjaga kemaslahatan dan keselamatan nelayan di kawasan yang masih dipertikaikan di Selat Melaka.
#Anwar Ibrahim #Joko Widodo #Sidang Kemuncak ASEAN ke-42 #Labuan Bajo
;