Sidang Kemuncak ASEAN Ke-27 melabuhkan tirai
Tan Su Lin
November 22, 2015 22:27 MYT
November 22, 2015 22:27 MYT
Setelah lima hari bersidang sejak Rabu, Sidang Kemuncak ASEAN ke-27 dan sidang kemuncak berkaitan akhirnya melabuhkan tirai pada Ahad.
Upacara penutupan sidang kemuncak itu disempurnakan Perdana Menteri yang juga pengerusi ASEAN 2015, Datuk Seri Najib Razak di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur.
Dengan terbentuknya komuniti asean, beliau menyeru komitmen semua pihak untuk menjadikan ASEAN blok rantau paling kompetitif di Asia Pasifik dan seterusnya, antarabangsa.
"Ini hanyalah permulaan. kejayaan memuktamadkan pembentukan komuniti asean bukan bermakna kita sudah mencapai peringkat akhir proses pembangunan semula rantau ini. Sekarang masa untuk kita bekerja keras bagi menyatu dan mengintegrasikan komuniti ASEAN," katanya ketika berucap menutup Sidang Kemuncak ASEAN Ke-27 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur.
Majlis penutupan itu turut menyaksikan penyerahan kerusi pengerusi ASEAN kepada Laos.
Najib turut menyerahkan plak kepada Perdana Menteri Laos, Thongsing Thammavong, sebagai simbolik penyerahan kerusi pengerusi ASEAN bagi tahun 2016.
Beliau juga yakin di bawah kepimpinan Laos, usaha-usaha integrasi dan penyatuan komuniti ASEAN akan dapat diteruskan.