Sidang Kemuncak ASEAN 2025: Pastikan semua negeri dapat limpahan ekonomi - Fahmi

Bernama
Januari 31, 2024 04:06 MYT
Fahmi bercakap pada sidang media Mesyuarat Pasca Kabinet di Kementerian Komunikasi semalam. --fotoBERNAMA
PUTRAJAYA: Sekretariat Kepengerusian ASEAN perlu memanfaatkan sepenuhnya kepelbagaian lokasi di Malaysia bagi memastikan semua negeri dapat menikmati limpahan ekonomi susulan penganjuran sidang kemuncak blok serantau itu tahun depan, kata Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil.
"Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim telah meminta supaya diteliti agar bukan kawasan bandar sahaja yang mendapat manfaat tetapi secara khusus, ia bergantung kepada program yang akan diadakan.
"Jadi kita tidak membezakan antara bandar dan luar bandar tetapi memanfaatkan program yang akan dilaksana... kita akan bersikap adil untuk memastikan limpahan ekonomi itu dapat dirasai di semua negeri," katanya dalam sidang media selepas mesyuarat Kabinet di sini semalam.
Jurucakap Kerajaan Perpaduan itu berkata Anwar juga menggesa agar semua cenderahati sempena penganjuran sidang kemuncak itu berkonsepkan kraf tangan Malaysia.
Beliau berkata justeru, Perdana Menteri meminta supaya perkara itu diteliti dan diselaras bagi memastikan para artisan atau pembuat kraf dapat terlibat secara besar-besaran sepanjang Kepengerusian ASEAN oleh Malaysia.
Jumaat lepas, Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan berkata sebagai persiapan Malaysia mengambil alih Kepengerusian ASEAN, tiga kluster utama diwujudkan iaitu politik, pertahanan dan kewarganegaraan (di bawah Kementerian Luar); ekonomi dan perdagangan (di bawah Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri) serta budaya dan sosial (Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya).
Fahmi juga berkata Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) memaklumkan Jemaah Menteri mengenai program fleet card diesel bagi sektor pengangkutan yang akan dilaksana esok.
"KPDN akan menyediakan maklumat lanjut tetapi ini khusus untuk syarikat besar yang akan mula menggunakan fleet card esok," katanya.
Beliau juga berkata Anwar meminta para menteri untuk meneliti, meluncurkan dan terbabit dalam pelaksanaan Program Sumbangan Asas Rahmah (SARA).
"Ini bagi memastikan menteri-menteri dan seterusnya Ahli-Ahli Parlimen dapat mengenal pasti serta memahami aspek-aspek dalam pelaksanaan program SARA agar dapat dijelaskan lebih lanjut kepada rakyat serta memanfaatkan kawasan masing-masing," katanya.
Ditanya mengenai penganjuran konsert artis antarabangsa Ed Sheeran, yang didakwa menyokong aktiviti golongan lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT), di Malaysia pada 24 Feb ini, Fahmi berkata ia akan diteruskan.
"Buat masa ini, belum ada apa-apa perubahan kepada kelulusan yang diberi sebelum ini," katanya.
Ed Sheeran dijadual mengadakan persembahan di Stadium Nasional Bukit Jalil, Kuala Lumpur dan artis itu pernah menganjurkan konsert di Malaysia pada April 2019 di lokasi sama.
Terdahulu, Mufti Pulau Pinang Datuk Seri Dr Wan Salim Wan Mohd Noor meminta Kementerian Komunikasi mengambil kira dan menghormati pandangan golongan itu sebelum membenarkan sebarang acara hiburan termasuk konsert.
-- BERNAMA
#Fahmi Fadzil #ASEAN #sara #Ed Sheeran
;