Sidang JKSMN ke-3 bahas penyelesaian krisis sekuriti makanan negara
Fahmi Izuddin
Jun 10, 2023 10:50 MYT
Jun 10, 2023 10:50 MYT
KUALA LUMPUR: Jawatankuasa Kabinet mengenai Dasar Sekuriti Makanan Negara (JKSMN) telah mengadakan persidangan bertujuan membincangkan pendekatan jangka panjang dalam menjamin kelangsungan bekalan makanan negara.
Menerusi satu kenyataan, fokus diberikan kepada penguatkuasaan sekuriti makanan negara dengan mempertimbangkan faktor-faktor yang mempengaruhi sektor pertanian dan sosioekonomi dalam merangka langkah-langkah menghadapi ketidakpastian sekuriti makanan.
“JKSMN Kali Ke-3 ini turut memberi tumpuan memperkukuhkan sekuriti makanan negara mengambil kira faktor-faktor yang memberi kesan kepada pertanian negara seperti perubahan iklim, kekangan sumber, konflik geopolitik, kemudahsampaian makanan, jurang pendapatan dan amalan pemakanan,
“Faktor sosioekonomi seperti pendapatan penduduk, kos logistik dan harga makanan yang mempengaruhi kebolehcapaian kepada makanan yang cukup, selamat dan bernutrisi perlu diberi perhatian khusus dalam mencatur langkah menangani ketidaktentuan sekuriti makanan,” ujar kenyataan tersebut.
Selain itu, dalam usaha mempertingkatkan ekosistem agromakanan negara, tiga kertas kerja telah dikaji kerajaan bagi meningkatkan pengeluaran padi negara dengan melaksanakan lima musim tanam dalam tempoh dua tahun.
Tambah JKSMN, usaha-usaha oleh Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) juga turut diberi perhatian dalam menjamin ketersediaan bekalan makanan.
“Sebanyak tiga kertas kerja telah diteliti bagi menambahbaik ekosistem agromakanan negara khususnya dalam mencapai sasaran keterjaminan makanan yang mencukupi,” jelasnya.
Pada masa sama, mesyuarat turut mempertimbangkan cadangan penetapan sistem penternakan tertutup untuk pengurusan ladang yang produktif dan selamat.
Dalam pada itu, kerajaan melalui Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) sedang berusaha untuk mengurangkan defisit perdagangan dengan memperkuat aktiviti penyelidikan dan pembangunan (R&D) dalam bidang pertanian, meningkatkan eksport produk pertanian bernilai tambah, dan menggalakkan pengeluaran makanan secara domestik.
Sidang JKSMN berlangsung pada Jumaat, dipengerusikan oleh Perdana Menteri dan turut dihadiri oleh Timbalan Perdana Menteri, Menteri Perladangan dan Komoditi, Menteri Kabinet dan Pegawai Kanan Kerajaan.