Sidang DUN: Sultan Kedah nasihat semua pihak amalkan demokrasi bermusyawarah

Hasimi Muhamad
Mac 20, 2022 09:45 MYT
Sultan Sallehuddin berharap pihak berkaitan menghormati prinsip Demokrasi Raja Berpelembagaan, yang menjadi asas kepada pembentukan negara - Foto/SUK Kedah
SULTAN Kedah, Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah menasihatkan agar semua pihak mengamalkan demokrasi bermusyawarah dalam mencari penyelesaian kepada apa sahaja permasalahan yang dihadapi.
Baginda bertitah, kematangan dalam menyelesaikan hal-hal berkaitan negeri diperlukan oleh rakyat Kedah.
Justeru, Sultan Sallehuddin juga berharap pihak berkaitan menghormati prinsip Demokrasi Raja Berperlembagaan yang menjadi asas kepada pembentukan negara.
"Ambillah nasihat pepatah Melayu lama yang berbunyi, 'biduk lalu, kiambang bertaut'. Perpaduan yang utuh merupakan asbab dan kekuatan, kepada sesebuah ketamadunan.
"Firman Allah SWT, dalam Surah Ali Imran, ayat 103 yang bermaksud: 'Berpegang teguhlah kamu seluruhnya, dengan tali Allah Sub-hana-hu wa-ta’ala, dan janganlah kamu berpecah belah'.
"Hormatilah prinsip Demokrasi Raja Berperlembagaan yang menjadi asas pembentukan negara, melalui perpaduan, kesepakatan dan kebersamaan yang erat, bagaikan sebuah keluarga, akan dapat mengharungi pelbagai cabaran dan dugaan, yang bakal ditempuhi," titah Baginda, hari ini.
Sultan Sallehuddin bertitah ketika merasmikan Istiadat Pembukaan Mesyuarat Pertama Penggal Kelima, Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah ke-14 pada Ahad melalui sidang video di Istana Anak Bukit, Alor Setar, Kedah.
Sultan Sallehuddin turut menyeru Ahli-Ahli DUN (ADUN) dan semua agensi kerajaan yang berkaitan supaya lebih proaktif dalam menyelami isu-isu rakyat, sekali gus memantau pencapaian program-program yang telah dilaksanakan.
Baginda menambah Kerajaan Negeri hendaklah memberi tumpuan dalam penyediaan dan menaik taraf pembangunan infrastruktur perkhidmatan jalur lebar bagi memperkasa pembentukan ekosistem ekonomi digital yang lebih baik ke seluruh daerah di negeri Kedah.
"Mendepani cabaran era digital ini, penggunaan teknologi dan digital perlu digalakkan bagi memastikan semua pihak bersedia dan berdaya saing.
"Usaha ini kelak bakal mendorong transformasi sistem penyampaian kerajaan, membantu pertumbuhan ekonomi, serta meningkat keupayaan perniagaan perusahaan kecil dan sederhana.
"Selain itu, Beta berharap agar Kerajaan Negeri dapat memberi keutamaan kepada pemulihan industri pelancongan, dan memajukan sektor pelancongan domestik ke seluruh negeri Kedah bagi mengekalkan kemampanan industri tersebut," titah Baginda lagi.
Baginda juga menyeru agar Kerajaan Negeri dapat mengawal dan mengekalkan kawasan hutan menerusi amalan pengurusan hutan secara berkekalan.
Ini kerana, titah Baginda, gangguan manusia secara keterlaluan terhadap sifat-sifat semulajadi alam serta aktiviti manusia yang menggunakan sumber alam untuk kepentingan perniagaan secara rakus, mengakibatkan dunia pada hari ini menghadapi pelbagai bencana yang kian meningkat.
Mengenai sektor pertanian pula, Sultan Sallehuddin bertitah semua pihak termasuk kerajaan dan swasta perlu mengambil inisiatif untuk meneroka peluang memodenkan sektor pertanian sebagai usaha meningkatkan produktiviti dan membangunkan sektor ini secara lestari.
Baginda turut menzahirkan penghargaan kepada semua petugas barisan hadapan yang komited dan berdedikasi dalam mencurah khidmat bakti, terutama dalam menangani isu pandemik COVID-19.
#Sultan Kedah #Pembukaan DUN Kedah #COVID-19 #berita Malaysia
;