Sidang DUN P.Pinang kecoh isu perkauman

Bernama
Disember 9, 2013 17:43 MYT
Datuk Jahara Hamid - Foto Bernama
Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) kecoh apabila berlaku pertikaman lidah antara penyokong kerajaan negeri dan wakil rakyat Barisan Nasional (BN) berhubung isu gerai makan diroboh Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP) baru-baru ini.
Kekecohan tercetus apabila Phee Boon Poh (DAP-Sungai Puyu) mahu ketua pembangkang Datuk Jahara Hamid menarik balik kenyataannya berhubung isu itu yang disifatkan sebagai rasis.
Phee mendakwa Jahara cuba menimbulkan persepsi perkauman terhadap Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) apabila mengatakan PBT hanya mengambil tindakan terhadap peniaga Melayu.
"Saya tak kata PBT hanya ambil tindakan kepada orang Melayu. Kalau ada impression (tanggapan) macam itu saya minta maaf. Saya hanya minta keadilan, penjelasan. Peniaga terbabit bukan baru berniaga sehari, dua...sudah 20 tahun.
"Kalau mahu ambil tindakan, ambil tindakan terhadap semua...jangan pilih-pilih," kata Jahara ketika membahaskan Rang Undang-undang Perbekalan 2014 di persidangan DUN di sini, hari ini.
Pertikaman lidah itu berjaya dihentikan apabila Speaker Datuk Law Choo Kiang mengarahkan Phee duduk selepas Jahara memohon maaf dan mengarahkan ketua pembangkang itu meneruskan perbahasannya.
Bagaimanapun, dewan kembali kecoh apabila Jahara mahu kerajaan negeri menjelaskan mengenai nama Pulau Mazu yang didakwa sebagai nama baharu bagi Pulau Jerejak.
"Adanya satu pulau di sini diberi nama baru Mazu Island. Mazu Island ini adalah Pulau Jerejak yang mana telah diberi nama baru oleh seorang pengusaha yang mempromosikannya dalam bentuk pelancongan.
"Sebuah tokong besar juga dibina tanpa kebenaran. Siapa yang meluluskan semua ini," katanya sambil menunjukkan gambar pengusaha itu bersama Ketua Menteri Lim Guan Eng.
Tindakan Jahara menunjukkan gambar itu menimbulkan rasa tidak puas hati R.S.N Rayer (DAP-Seri Delima), Phee (DAP-Sungai Puyu) dan Soon Lip Chee (DAP-Jawi) yang bangkit mempertikaikan tindakan itu.
"Itu sudah melampau...tindakan ini menuduh seolah-olah kerajaan negeri beri kelulusan semata-mata orang itu mengenali ketua menteri. Mana ada bukti ketua menteri beri kelulusan," kata Rayer.
Jahara kemudiannya berkata beliau hanya mahu penjelasan kerajaan negeri berhubung kewujudan nama Pulau Mazu itu.
Bagaimanapun, Jahara terus-terusan diasak wakil rakyat berkenaan yang mahu beliau menjelaskan tindakannya itu.
Tindakan wakil rakyat yang tidak memberi peluang kepada Jahara untuk berbahas telah menyebabkan kesemua sepuluh wakil rakyat BN meninggalkan sidang DUN sebagai tanda protes.
#DUN #p.pinang #Phee Boon Poh
;