Sidang DUN Negeri Sembilan berlangsung 30 minit
Shuhada Abdul Kadir
Mei 4, 2020 14:18 MYT
Mei 4, 2020 14:18 MYT
Istiadat Persidangan Pertama (Perasmian) Penggal Ketiga Dewan Undangan Negeri (DUN) Negeri Sembilan ke-14 berlangsung ringkas kira-kira 30 minit hari ini, dengan menepati prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan pada tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, persidangan DUN yang sepatutnya dijadual penghujung Mac lalu perlu diadakan segera memandangkan kali terakhir ianya dijalankan adalah pada penghujung tahun lepas.
Beliau berkata, meskipun negara sedang berdepan wabak COVID-19, persidangan itu tetap berjalan lancar dengan penetapan penjarakan sosial selain langkah pencegahan menghadkan jumlah penglibatan kurang 50 orang termasuk Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN).
“Kita terpaksa tangguh awal (selepas 30 minit) memandangkan keadaan dalam dewan dan juga suasana PKP hari ini. Sidang baharu kali pertama ditangguh, mengikut undang-undang tubuh yang telah ditetapkan sebelum 6 bulan berakhir. Alhamdulillah tanggungjawab tersebut dapat ditunaikan,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.
Persidangan DUN yang diadakan sehari sahaja itu juga berlangsung tanpa sebarang perbahasan serta soal jawab daripada ahli dewan dan semua soalan akan dijawab menerusi jawapan bertulis dalam tempoh lima hari.
Terdahulu, persidangan berkenaan dirasmikan oleh Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Almarhum Tuanku Munawir.
Tuanku Muhriz dalam titah baginda menyeru supaya rakyat di negeri ini dapat meneruskan semangat kerjasama dan saling membantu tanpa mengira kaum, agama dan keturunan di saat negara berdepan pandemik COVID-19.
Baginda turut berpesan supaya sebarang tindakan atau keputusan yang diambil adalah berteraskan kepentingan dan kesejahteraan rakyat dan bukan untuk kepentingan diri sendiri.
#ADUN
#COVID-19
#Datuk Seri Aminuddin Harun
#koronavirus
#menteri
#Menteri Besar
#Menteri Besar Negeri Sembilan
#Negeri Sembilan
#operasi
#rakyat
#SOP
#Tuanku Muhriz Almarhum Tuanku Munawir
#undang-undang
#Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan