Sidang DUN Melaka kecoh dengan kata-kata kesat, terpaksa ditangguhkan
Astro Awani
Mei 11, 2020 12:00 MYT
Mei 11, 2020 12:00 MYT
Ketika umat Islam memasuki hari ke-18 Ramadan hari ini, Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka pula kecoh dengan kata-kata kesat dan insiden bertikam lidah sehingga memaksa sidang tersebut ditangguhkan.
Difahamkan, suasana tegang itu dipercayai berlaku gara-gara cadangan pertukaran Speaker dan Timbalan Speaker sedia ada.
Kekecohan tercetus sejak awal persidangan yang berlangsung kira-kira jam 9.30 pagi itu bermula apabila bekas Ketua Pembangkang, Datuk Seri Idris Haron mendakwa Speaker DUN, Datuk Omar Jaafar tidak layak berada di kerusinya bagi meneruskan persidangan berkenaan.
Ini kerana beliau sudah tidak mendapat sokongan majoriti ahli dewan sebelum kumpulan pembangkang termasuk bekas Ketua Menteri Melaka, Adly Zahari lantas bangun dan membidas kenyataan Idris.
Idris turut dikatakan melemparkan buku panduan Dewan selain Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pengkalan batu, Datuk Norhizam Hassan Baktee turut bertikam lidah dengan wakil pembangkang dari DAP.
Ditengah kekalutan itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) pengkalan batu, Datuk Norhizam Hassan Baktee turut bertikam lidah dengan wakil pembangkang dari DAP selepas dilabelkan sebagai ‘barua’ dan pengkhianat.
Menerusi sebuah video berdurasi 1.10 saat yang tular di aplikasi WhatsApp memaparkan Norhizam bertegang leher, cuba mempertahankan dirinya sambil ditenangkan oleh beberapa wakil rakyat kerajaan.
Kegamatan persidangan yang dijalankan tanpa liputan media itu berterusan lebih 30 minit sehingga memaksa Omar membuat keputusan menangguhkan persidangan hingga ke satu tarikh kelak.
#ADUN
#DAP
#idris haron
#kata-kata kesat
#Ketua Menteri
#Pakatan Harapan
#Perikatan Nasional
#Persidang DUN Melaka
#Ramadan