Sidang DUN Johor yang dijadual 5 Mac ditangguh - Speaker

Ernalisa Othman
Februari 27, 2020 12:29 MYT
Suhaizan tidak menolak kemungkinan akan berlaku pembubaran dewan sekiranya tiada persidangan dilakukan sehingga Mei. - Astro AWANI
Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor Suhaizan Kaiat membuat keputusan menunda persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor sehingga ke satu tarikh yang akan ditetapkan kelak.
Namun, tempoh penangguhan itu dijangka tidak akan mengambil masa yang lama, katanya.
Menurutnya, keputusan penangguhan itu dilakukan berdasarkan situasi terkini politik negara masa kini.
"Dengan mengambil kira politik semasa, dari segi ketidaktentuan yang sedang berlaku pada waktu ini, dan mungkin ada berlaku rombakan exco juga, ada beberapa perubahan besar dari segi kedudukan menteri besar dan sebagainya.
"Ia akan memberi kesan pada sidang dewan yang akan dilaksanakan 5 Mac ini.
"Jadi, saya menggunakan Peruntukan 73 Peraturan-peraturan Perintah Tetap Dewan Negeri Johor menangguhkan sementara persidangan 5 hari bulan ini ke satu tarikh yang akan dimaklumkan kemudian," katanya.
Bagaimanapun, beliau juga tidak menolak kemungkinan akan berlaku pembubaran dewan sekiranya tiada persidangan dilakukan sehingga Mei.
Sebelum ini, Suhaizan berkata, Johor bersedia untuk menangguhkan persidangan DUN sekiranya berlaku perubahan angin politik di negeri itu.
Sementara itu, Bernama melaporkan, ketika ditanya mengenai kenyataan Pengerusi Barisan Nasional (BN) Johor Datuk Hasni Mohammad hari ini yang mengatakan bahawa BN Johor mampu meraih sokongan majoriti membentuk kerajaan, Suhaizan berkata, ia perlu dilakukan mengikut proses undang-undang.
Beliau berkata, proses berkenaan perlu dilakukan mengikut Undang-Undang Tubuh Negeri Johor, yang antara lain termasuk mendapat perkenan Sultan Johor Sultan Ibrahim Almarhum Sultan Iskandar.
Setakat ini, tiada pengumuman rasmi daripada Menteri Besar mahupun kerajaan negeri berkaitan pentadbiran kerajaan negeri.
Sementara itu, beberapa Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan negeri menyatakan mereka masih menjalankan tugas-tugas mereka seperti biasa.
Pada Pilihanraya Umum ke-14 (PRU14), kerajaan Pakatan Harapan (PH) memenangi 36 kerusi DUN berbanding BN iaitu 19 kerusi dan PAS satu kerusi.
Bagaimanapun, PH memperoleh tiga kerusi tambahan apabila Ahli DUN (ADUN) dari UMNO iaitu ADUN Sedili Rasman Ithnain, ADUN Johor Lama Rosleli Jahari dan ADUN Endau Alwiyah Talib menyertai Bersatu pada 25 Nov 2018, menjadikan 39 kerusi.
Daripada 56 kerusi DUN Johor, DAP dan UMNO masing-masing mempunyai 14 kerusi, Bersatu 11 kerusi, Amanah sembilan kerusi, PKR lima, MIC dua dan PAS dengan satu kerusi.
#Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan #Barisan Nasional #bubar dewan #DUN #Exco #Johor #Pakatan Harapan #persidangan dewan undangan negeri #PRU14 #rombakan exco #Speaker #Sultan Ibrahim #tangguh #tunda persidangan #undang-undang
;