Sidang Dewan Rakyat wajar kekal sehari, ikut SOP KKM

Harits Asyraf Hasnan
Mei 3, 2020 06:11 MYT
Keputusan itu dibuat dengan mengambil kira pendirian bahawa sebarang bentuk perhimpunan ramai masih belum sesuai diadakan. - Foto Astro AWANI / SHAHIR OMAR
Pendirian kerajaan sebelum ini untuk meneruskan sidang Dewan Rakyat selama satu hari pada 18 Mei ini dilihat sebagai langkah yang wajar.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Takiyuddin Hassan berkata, keputusan itu dibuat dengan mengambil kira pendirian bahawa sebarang bentuk perhimpunan ramai masih belum sesuai diadakan.
“Kerajaan mengambil maklum pandangan Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH) berhubung tempoh persidangan Parlimen yang akan bersidang pada 18 Mei 2020.
“Namun, mengambil kira pendirian kerajaan bahawa sebarang bentuk perhimpunan ramai masih belum sesuai diadakan pada masa ini dalam rangka mengurangkan risiko jangkitan COVID-19, sidang Parlimen yang dijadualkan berlangsung hanya satu hari sahaja pada 18 Mei 2020 wajar dikekalkan.
“Sehubungan dengan itu susunan kedudukan Ahli-Ahli Parlimen di dalam Dewan Rakyat juga akan diubah suai untuk mengamalkan penjarakan sosial bagi menjamin semua ahli Dewan dapat mengambil bahagian dalam ruang lingkup SOP (prosedur operasi standard) yang ditetapkan oleh pihak Kementerian Kesihatan Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.
Menuru beliau, beberapa Rang Undang-undang (RUU) berkaitan impak COVID-19 terhadap rakyat dan negara pula akan dibentangkan dalam sidang Parlimen pada Julai.
“Memandangkan kesan yang dialami oleh rakyat perseorangan, peniaga dan juga syarikat-syarikat ekoran penularan wabak COVID-19, kerajaan telah bersetuju mengemukakan beberapa Rang Undang-Undang yang berkaitan bagi dibentangkan dalam sidang Parlimen akan datang iaitu pada bulan Julai 2020,” ujarnya.
Sebelum ini, Majlis Presiden PH mencadangkan persidangan Dewan Rakyat dijalankan selama dua minggu dan bukannya sehari seperti diputuskan sebelum ini.
Majlis Presiden PH berkata, langkah itu selaras dengan pendirian kerajaan membenarkan beberapa sektor ekonomi beroperasi penuh tertakluk kepada SOP.
#COVID-19 #Dewan Rakyat #ekonomi #Kementerian Kesihatan #koronavirus #Pakatan Harapan #Parlimen #perhimpunan #Takiyuddin Hassan #undang-undang