Sidang Dewan Rakyat terhenti seketika, Parlimen keluar amaran kebakaran
Astro Awani
Disember 1, 2020 10:40 MYT
Disember 1, 2020 10:40 MYT
KUALA LUMPUR: Sidang Dewan Rakyat pagi ini gempar apabila amaran kebakaran diumumkan ketika sesi perbahasan sedang berlangsung.
Amaran kebakaran diumumkan ketika sesi pertanyaan-pertanyaan bagi jawab lisan oleh Ahli Parlimen Padang Terap, Datuk Seri Mahdzir Khalid, yang bertanyakan soalan kepada Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi.
Amaran itu dikeluarkan pada pukul 10.18 pagi.
Justeru, Speaker Dewan Datuk Azhar Azizan Harun memaklumkan sidang ditangguhkan seketika dan semua Ahli Parlimen termasuk petugas, pegawai dan mereka yang berada di bangunan Parlimen diarahkan keluar.
Namun, pada 10.32 pagi, penggera sekali lagi dibunyikan sebagai pengumuman meminta semua yang berada di bangunan Parlimen untuk masuk semula.
Azhar berkata, kemungkinan terdapat masalah teknikal dan punca insiden itu sedang disiasat.
"Terima kasih Yang Berhormat semua kerana memberi kerjasama. Terdapat sedikit masalah teknikal saya rasa tadi. Punca perkara tersebut sedang disiasat," katanya sebelum meneruskan sesi soal jawab.
Bagaimanapun, menurut Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Rashid Hasnon, amaran itu sekadar satu latihan kebakaran di Parlimen.
"Pada 10.32 loceng telah dibunyikan semula dan semua Ahli Parlimen diminta masuk semula ke Dewan Rakyat dan urusan mesyuarat disambung semula," katanya kepada Astro Awani.
Jelasnya, latihan itu sebagai persediaan sekiranya benar-benar berlaku kebakaran di Parlimen.