Sidang Dewan Rakyat terakhir sebelum PRU bermula hari ini

Astro Awani
Mac 4, 2018 22:34 MYT
Dewan Rakyat akan bersidang selama 20 hari bermula hari ini sehingga 5 April. - Gambar fail
Mesyuarat Pertama, Penggal Keenam Parlimen Ke-13 yang bermula hari ini pastinya menjadi tumpuan kerana ia merupakan yang terakhir sebelum Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) diadakan.
Jika tiada pengumuman pembubaran Parlimen, Dewan Rakyat akan terbubar dengan sendiri pada 24 Jun ini.
Dewan Rakyat akan bersidang selama 20 hari bermula hari ini sehingga 5 April.
Mesyuarat pertama bagi penggal keenam Parlimen ke-13 itu akan dirasmikan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Muhammad V jam 10 pagi pada hari pertama persidangan bermula hari ini.
Persidangan akan dimulakan dengan usul menjunjung kasih dan perbahasan titah diraja selama dua minggu, sebelum menteri-menteri menjawab perbahasan tersebut pada minggu ketiga.
Ini akan diikuti perbahasan bagi rang undang-undang dan urusan kerajaan yang lain pada minggu keempat dan kelima.
Antara yang menarik dan boleh dijangka pada sesi kali ini adalah kemungkinan pembentangan tentang rang undang-undang persempadanan semula kawasan pilihan raya.
Ia dijangka diluluskan oleh Dewan Rakyat bagi membolehkan ia diguna pakai dalam PRU-14 kali ini.
Mengikut laporan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), urusan persempadan semula seluruh negara telah selesai dan hanya Selangor yang berada pada peringkat syor kedua.
Sebelum ini, Pengerusi SPR, Tan Sri Mohd. Hashim Abdullah berkata, pembentangan laporan akhir syor kajian semula persempadanan bahagian pilihan raya adalah di bawah kuasa budi bicara Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.
Selain itu, antara jangkaan menarik pada sesi kali ini adalah Rang Undang-undang Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) (Pindaan) 2016 (RUU 355).
#Dewan Rakyat #Najib Razak #PRU #RUU 355 #Suruhanjaya Pilihan Raya #Yang di-Pertuan Agong