Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul berkata, penangguhan masa mesyuarat itu dibuat selepas ramai Ahli Parlimen memaklumkan mereka terperangkap dalam banjir itu.
"Di luar sana, hujan tengah lebat dan beberapa jalan telah banjir. Ramai Ahli Yang Berhormat telah terperangkap dalam banjir tersebut.
"Oleh yang demikian, saya mahu menggunakan peraturan mesyuarat 12 (2) untuk menangguhkan mesyuarat ini sehingga jam 10.30 pagi," katanya di Dewan Rakyat.
Sementara itu Datuk Ahmad Maslan (BN-Pontian) yang juga Timbalan Menteri Kerja Raya menerusi perkongsian di X, memberitahu keputusan Speaker itu merupakan kali pertama berlaku dalam sejarah.
"(Sidang Dewan Rakyat) ditangguh 30 minit pagi ini disebabkan hujan lebat, ramai #AhliParlimen tersangkut dalam banjir kilat.
"Speaker tangguhkan hingga 10.30 pagi. Kali pertama berlaku seingatan saya.
"Sebelum ini penangguhan bila berlaku pertelingkahan yang sukar dikawal oleh Speaker," katanya.
Sidang Dewan Rakyat hari ini bakal bermula dengan pertanyaan Datuk Seri Amirudin Shari (PH-Gombak) kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengenai hasil lawatan Malaysia ke Sidang Kemuncak ASEAN ke-44 dan ke-45 pada 8 hingga 11 Oktober lalu.