Sidang Dewan Rakyat pada Rabu, Khamis sehingga 2 petang
Hasimi Muhamad
Disember 15, 2020 10:23 MYT
Disember 15, 2020 10:23 MYT
KUALA LUMPUR: Dewan Rakyat hari ini meluluskan usul sesi Persidangan Dewan Rakyat pada Rabu dan Khamis berlangsung dari pukul 10 pagi sehingga pukul 2 petang.
Usul tersebut dikemukakan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang), Datuk Takiyuddin Hassan mengikut Peraturan Mesyuarat 12 (1).
Selain itu, Takiyuddin turut mengemukakan usul agar Sidang Kamar Khas diawalkan pada 12 tengah hari sehingga 2 petang, atau sebaik sahaja selesai urusan dalam Aturan Mesyuarat Kamar Khas.
"Saya juga (mencadangkan) untuk menghentikan kuatkuasa Peraturan Mesyuarat 24 (5) (A); 24 (A) (5); dan 24 (A) (7) bagi membolehkan sesi Pertanyaan-Pertanyaan Menteri dipendekkan kepada 10 minit yang mana ahli yang mengeluarkan pertanyaan dipanggil membaca soalannya dan kemudian dijawab oleh menteri dengan tiada pertanyaan tambahan pada Khamis, 17 Disember," katanya di Dewan Rakyat, di sini, hari ini.
Kesemua usul tersebut mendapat kelulusan di Dewan Rakyat selepas diumum oleh Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Mohd Rashid Hasnon.
Dewan Rakyat sebelum ini menetapkan sidang berjalan sehingga jam 2 petang sebagai sebahagian dari langkah membendung penularan COVID-19.
Sidang kemudian dilanjutkan sejam sehingga jam 3 petang.
Had masuk Ahli Parlimen ke dalam dewan juga dihadkan untuk 80 Ahli Parlimen di blok kerajaan dan pembangkang.