Sidang Dewan Rakyat khas 2 Mac untuk pilih PM baharu - Dr Mahathir
Bernama
Februari 27, 2020 19:47 MYT
Februari 27, 2020 19:47 MYT
Persidangan khas Dewan Rakyat akan diadakan pada 2 Mac bagi menentukan calon yang mendapat majoriti untuk menjadi perdana menteri baharu, kata Tun Dr Mahathir Mohamad.
Perdana menteri interim itu berkata sekiranya persidangan khas itu gagal mencapai keputusan, pilihan raya mengejut akan diadakan.
”Pilihan raya mengejut akan diadakan sekiranya sesi Parlimen khas 2 Mac ini gagal mencapai majoriti sewajarnya untuk memilih PM,” katanya pada sidang media selepas mengumumkan Pakej Rangsangan Ekonomi 2020 di Bangunan Perdana Putra di sini hari ini.
Dr Mahathir ditanya mengenai hasil pertemuan ketika menghadap Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, pada sebelah pagi hari ini.
“Sebagaimana yang diketahui, Seri Paduka telah meminta semua Ahli Parlimen memberi kenyataan kerana mereka telah membuat akuan berkanun, tetapi baginda tidak pasti, jadi baginda mahu mereka membuat kenyataan di hadapan baginda.
"Dan, selama dua hari... hasilnya ialah Seri Paduka mendapati tiada siapa yang mempunyai majoriti ketara dan kerana baginda tidak memperoleh majoriti ketara, Seri Paduka bertitah forum yang tepat ialah Parlimen atau Dewan Rakyat," katanya.
-- BERNAMA
#2 Mac
#akuan berkanun
#Al-Sultan Abdullah
#calon
#Dewan Rakyat
#Mahathir Mohamad
#majoriti
#Parlimen
#perdana menteri baharu
#Perdana Menteri Interim
#Perdana Menteri kelapan
#persidangan khas
#Pilihan raya awal
#pilihan raya mengejut
#Yang di-Pertuan Agong