Sidang Dewan Rakyat: Ini nasihat Majlis Profesor kepada semua Ahli Parlimen

Harits Asyraf Hasnan
November 1, 2020 17:59 MYT
Semua anggota Dewan Rakyat perlu lebih bijaksana dan rasional supaya perdebatan tentang bajet yang akan dibentangkan dalam Parlimen dapat berlangsung berpandukan rasa hati nurani yang tulus dan telus.
KUALA LUMPUR: Tiga prinsip utama perlu menjadi teras buat semua Ahli Parlimen yang bakal memulakan Mesyuarat Ketiga bagi Penggal Ketiga, esok (2 November).
Presiden Majlis Profesor Negara (MPN), Prof Datuk Dr. Raduan Che Rose berkata, tiga prinsip itu ialah berfikiran bijaksana berpandukan ketulusan hati nurani, bertindak secara bertanggung jawab demi melindungi nyawa dan kebajikan rakyat serta bersedia berkorban kepentingan politik masing-masing demi kepentingan rakyat dan negara.
"Ketika rakyat bertarung melawan wabak COVID-19 ini, semua anggota Dewan Rakyat perlu lebih bijaksana dan rasional supaya perdebatan tentang bajet yang akan dibentangkan dalam Parlimen dapat berlangsung berpandukan rasa hati nurani yang tulus dan telus.
"Kepentingan parti politik perlu diketepikan buat sementara waktu agar Parlimen dapat meluluskan “Bajet Bijaksana 2021” supaya nyawa dan kebajikan rakyat dapat dijaga secara kolektif dalam Parlimen.
"Sesungguhnya nyawa dan kebajikan rakyat adalah lebih penting daripada kepentingan politik. Rakyat akan berterima kasih kepada semua anggota Parlimen yang tulus," katanya menerusi satu kenyataan hari ini.
Menurut Raduan, MPN bersyukur kerana setakat ini sistem politik Malaysia masih berjalan dengan teratur walaupun kurang stabil, berlandaskan peruntukan-peruntukan dalam Perlembagaan Persekutuan dan nasihat yang dititahkan oleh Yang di-Pertuan Agong dan Raja-Raja Melayu.
"Parlimen Malaysia perlu berfungsi secara rasional dan teratur supaya sistem demokrasi yang telah terbina dapat terus berjalan dengan baik dan kestabilan sosial dapat dipelihara.
"Pemulihan ekonomi negara dalam konteks penularan wabak COVID-19 ini banyak bergantung kepada kebijaksanaan hati nurani, perasaan bertanggung jawab dan pengorbanan yang rasional semua pihak, terutamanya para anggota Parlimen Malaysia yang akan membuat keputusan yang penting berkaitan Bajet 2021 ini," katanya.
Mesyuarat yang akan membuka tirai esok bakal memberi tumpuan kepada beberapa fokus seperti Belanjawan 2021 dan usul tidak percaya terhadap kepimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin.
#Dewan Rakyat #Yang di-Pertuan Agong #ekonomi #politik #Parlimen #Muhyiddin Yassin #COVID-19 #Usul tidak percaya
;