Sidang Dewan Rakyat ditangguh, 19 rang undang-undang diluluskan
Bernama
Ogos 10, 2017 23:28 MYT
Ogos 10, 2017 23:28 MYT
Persidangan Dewan Rakyat bagi mesyuarat kedua penggal kelima Parlimen ke-13 ditangguhkan hari ini selepas bersidang selama 12 hari dan meluluskan 19 rang undang-undang.
Antara rang undang-undang (RUU) yang menjadi perhatian pada persidangan ini ialah RUU Membaharui Undang-undang (Perkahwinan dan Perceraian) (Pindaan) 2017; RUU Agensi Kawalan Sempadan Malaysia (Aksem) 2017 dan RUU Pencegahan Jenayah (Pindaan) 2017.
RUU Pencegahan Jenayah (Pindaan) 2017 yang antara lain bertujuan mempercepatkan proses membuat keputusan oleh Lembaga Pencegahan Jenayah dalam sesuatu kes selain memudahkan pengurusan berkaitan tugas lembaga itu, diluluskan pada awal pagi hari ini iaitu 4.05 pagi.
RUU itu turut memberi kuasa kepada lembaga untuk mendesak pegawai penyiasat sesuatu kes mempercepatkan penyediaan laporan untuk tindakan selanjutnya.
RUU lain yang diluluskan ialah RUU Perkapalan Saudagar (Pindaan) 2017; RUU Penilai, Pentaksir dan Ejen Harta Tanah (Pindaan) 2017; RUU Bantuan Guaman (Pindaan) 2017; RUU Perihal Dagangan (Pindaan) 2017; RUU Kawalan Harga dan Antipencatutan (Pindaan) 2017 dan RUU Agensi Pekerjaan Swasta (Pindaan) 2017.
Turut diluluskan RUU Lembaga Kemajuan Johor Tenggara (Pindaan) 2017; RUU Lembaga Kemajuan Kelantan Selatan (Pindaan) 2017; RUU Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (Pindaan) 2017; RUU Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (Pindaan) 2017; RUU Akses kepada Sumber Biologi dan Perkongsian Faedah 2017; RUU Keganasan Rumah Tangga (Pindaan) 2017; RUU Tabung Angkatan Tentera (Pindaan) 2017 dan RUU Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (Pindaan) 2017.
Peruntukan bagi mengawal selia perkhidmatan 'e-hailing' seperti Grabcar dan Uber dapat dikuatkuasakan selepas RUU Pengangkutan Awam Darat (Pindaan) 2017 dan RUU Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan (Pindaan) 2017 turut diluluskan pada persidangan kali ini.
Pada akhir persidangan Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee Kiandee merakamkan penghargaan kepada anggota dewan, warga kerja Parlimen serta kakitangan Dewan Rakyat yang melaksanakan tanggungjawab dengan baik dalam memastikan kelancaran persidangan kali ini.
Beliau kemudian mengumumkan persidangan Dewan Rakyat ditangguhkan sehingga ke satu tarikh yang akan ditetapkan kemudian.
Berdasarkan takwim Dewan Rakyat yang dipaparkan di laman web Parlimen Malaysia, dewan itu dijadualkan bersidang semula bermula 23 Okt hingga 30 Nov ini.
-- BERNAMA