Sidang Dewan Rakyat ditambah dua hari pada 3 dan 4 April

Astro Awani
Februari 28, 2023 11:00 MYT
Johari berkata, semua anggota Dewan Rakyat akan dimaklumkan mengenai pindaan kepada tarikh mesyuarat itu dalam masa terdekat. - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Mesyuarat Pertama Dewan Rakyat Penggal Kedua Parlimen ke-15 ditambah selama dua hari lagi iaitu pada 3 dan 4 April depan.
Yang Dipertua Dewan Rakyat Datuk Johari Abdul memaklumkan, ia bagi membolehkan beberapa rang undang-undang (RUU) dan urusan kerajaan dibentangkan dan diputuskan di Dewan Rakyat.
Katanya, perkara itu ditetapkan Perdana Menteri selaku Ketua Majlis Mesyuarat, selaras dengan Peraturan Mesyuarat 11(2) Peraturan-Peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat.
Persidangan Dewan Rakyat sebelum ini dijadual tamat pada 30 Mac.
Mengikut peraturan mesyuarat tersebut, Ketua atau Timbalan Ketua Majlis hendaklah menetapkan sekurang-kurangnya 28 hari sebelum permulaan setiap penggal, tarikh-tarikh majlis akan bermesyuarat dalam penggal itu.
Bagaimanapun, ketua atau timbalan itu boleh mengubah tarikh-tarikh yang ditetapkan dari semasa ke semasa.
Johari berkata, semua anggota Dewan Rakyat akan dimaklumkan mengenai pindaan kepada tarikh mesyuarat itu dalam masa terdekat.
#Dewan Rakyat #Parlimen #Majlis Mesyuarat #ketua majlis #Perdana Menteri #Anwar Ibrahim #Johari Abdul
;