Sidang Dewan Rakyat dipendekkan bermula 9 November
Hasimi Muhamad
November 5, 2020 10:40 MYT
November 5, 2020 10:40 MYT
KUALA LUMPUR: Dewan Rakyat memutuskan persidangan Dewan Rakyat ditetapkan bermula 10 pagi hingga 2 petang bermula 9 November hingga 15 Disember ini.
Menurut Timbalan Speaker Dewan Rakyat, Datuk Mohd Rashid Hasnon, keputusan itu dibuat selepas mesyuarat Penyelarasan COVID-19 bersama ketua-ketua whip pada Rabu.
Jelasnya, perubahan waktu itu berikutan penularan COVID-19, berdasarkan nasihat Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan (KKM).
Selain itu, sesi Pertanyaan-Pertanyaan bagi Jawab Lisan ditetapkan pada Isnin hingga Rabu selama satu jam bermula 10 pagi hingga 11 pagi, sementara bagi Selasa dan Khamis sesi tersebut akan bermula selama 55 minit bermula 10.05 pagi hingga 11 pagi.
Katanya, hanya satu soalan tambahan sahaja dibenarkan dengan soalan yang seringkas yang boleh.
"Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri akan dilaksanakan pada Selasa dan Khamis selama lima minit dari jam 10 pagi.
"Ahli-ahli Yang Berhormat berkenaan akan membacakan soalan beliau dan Yang Berhormat Menteri berkenaan akan menjawab secara bertulis pada hari sama.
"Soalan dan jawapan tersebut akan disiarkan di portal Parlimen Malaysia secepat mungkin," katanya ketika membacakan Pemasyhuran daripada Yang Di-Pertua di Dewan Rakyat, di sini pada Khamis.
Mohd Rashid turut memaklumkan perbahasan di peringkat Dasar Rang Undang-Undang Perbekalan 2021 pula bersidang selama lapan hari iaitu bermula Isnin, 9 November hingga 12 November; dan 16 November hingga 19 November, 2020.
Sementara itu, Jawapan Menteri di peringkat Dasar kekal selama tiga hari iaitu 23 November hingga 25 November.
"Perbahasan di peringkat Jawatankuasa selama 11 hari iaitu Khamis, 26 November, 30 November, dan 1 hingga 15 Disember.
"Jumlah hari persidangan Mesyuarat Ketiga ini boleh ditambah sebanyak dua hari iaitu pada 16 dan 17 Disember sekiranya perlu," katanya.
Usul tersebut kemudian dicadangkan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Takiyuddin Hassan dan disokong Ahli Parlimen Alor Gajah, Datuk Seri Mohd Redzuan Md Yusof.
#Dewan Rakyat
#COVID-19
#sidang bermula 10 pagi
#9 November hingga 15 Disember
#Yang Di-Pertua
#Takiyuddin Hassan
#KKM
#Majlis Keselamatan Negara