Sidang Dewan Belia Negeri Perak medan berbahas, lontar cadangan
Aida Aziz
Disember 4, 2021 14:17 MYT
Disember 4, 2021 14:17 MYT
IPOH: Walaupun terdapat kekangan dalam norma baharu pandemik, Mesyuarat Pertama Penggal Pertama Dewan Belia Yang Ketiga Perak Darul Ridzuan berjaya dilaksanakan di Casuarina@Meru, di sini, hari ini.
Menteri Besar Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, Dewan Belia menjadi platform untuk berbahas dan memberi cadangan penambahbaikan kepada kerajaan negeri.
Tambahnya, usul yang dibentangkan para perwakilan juga menjadi input berharga kepada pihak kerajaan, dalam menggubal dasar dan polisi.
"Para Ahli Dewan Belia mewakili lapan kumpulan iaitu belia bersekolah, belia pengajian tinggi, belia bekerjaya, perkumpulan belia, belia massa, belia Malaysia antarabangsa, belia minoriti dan belia berisiko.
"Setelah sekian lama tidak dapat diadakan, akhirnya hari ini kita berjaya laksanakannya.
"Kita ada 61 orang Ahli Dewan Belia Negeri Perak, 59 yang dipilih mewakili DUN masing-masing secara undi dan dua orang dilantik iaitu mewakili belia Orang Asli dan belia OKU," katanya selepas merasmikan persidangan tersebut hari ini.
Hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan, Komunikasi dan Multimedia Perak, Khairul Shahril Mohamed.
Saarani berkata, sidang dewan kali ini amat signifikan dan menjadi pentas terbaik untuk para belia mengetengahkan buah fikiran.
"Selain itu, mereka boleh memperdebatkan isu penting dan mendasar.
"Gandingan buah fikiran daripada mereka dan inisiatif yang dilaksanakan kerajaan negeri, insya-Allah dapat melonjakkan prestasi belia negeri ini," katanya.