SIC mahu lari dari stigma tempat elit

Bernama
Februari 21, 2023 19:58 MYT
Litar Antarabangsa Sepang (SIC) berharap dapat mengubah persepsi orang ramai yang sering beranggapan bahawa venue itu adalah untuk golongan elit. - Gambar fail
SEPANG: Litar Antarabangsa Sepang (SIC) berharap dapat mengubah persepsi orang ramai yang sering beranggapan bahawa venue itu adalah untuk golongan elit.
Ketua Pegawai Eksekutif SIC, Azhan Shafriman Hanif berkata, mereka kini sedang menumpukan usaha mempelbagaikan penganjuran acara yang tidak hanya terhad kepada sukan permotoran sahaja dengan membuka ruang kepada aktiviti lebih dekat dengan rakyat seperti konsert mahupun maraton.
"Persepsi orang ramai sebelum ini SIC adalah tempat untuk orang elit disebabkan kerana mungkin acara yang lepas seperti perlumbaan Formula 1 sehingga mereka anggap tempat ini mahal.
"Jadi kami mahu tukar persepsi bermula tahun ini dengan buka lebih lagi banyak ruang untuk acara lain. Kami berharap siapa nak cari venue acara untuk hubungi kami bagi dapatkan harga berpatutan di SIC," katanya kepada pemberita pada Hari Terbuka SIC, di sini, hari ini.
Bagaimanapun, beliau memaklumkan, bahawa setakat ini slot untuk hujung minggu bagi tahun ini telah habis ditempah penganjur namun masih terdapat slot yang boleh diisi pada hari biasa.
Dalam pada itu, Azhan Shafriman berkata, mereka kini masih lagi berbincang dengan Kerajaan Negeri Selangor bagi mengurangkan atau memansuhkan sepenuhnya cukai hiburan 25 peratus yang dikenakan ke atas penonton bagi penganjuran Kejuaraan Motosikal Dunia 2023 termasuk Grand Prix Motosikal Dunia (MotoGP).
"Kami sedang melihat untuk dapatkan penepian sebanyak 25 peratus ataupun kurangkan sedikit cukai hiburan daripada kerajaan negeri bagi Kejuaraan Motosikal Dunia. Kami akan maklumkan sekiranya ada keputusan lanjut," katanya.
Beliau pada masa sama juga meletakkan sasaran agar kehadiran penonton ke perlumbaan berprestij dunia itu di sini meningkat lima peratus berbanding 164,000 pengunjung yang menyaksikan acara itu tahun lepas.
Katanya, peningkatan jumlah penonton terutamanya rakyat Malaysia ke Kejuaraan Motosikal Dunia di SIC tahun ini amat penting memandangkan wakil negara, Syarifuddin Azman atau lebih dikenali "Damok" akan membuat penampilan sulung bagi Kelas Moto3 bersama pasukan MTHelmets-MSI.
"Selain itu, KPI (indeks prestasi utama) bagi tahun ini juga adalah untuk menarik lebih ramai pelancong luar negara untuk menonton perlumbaan Kejuaraan Motosikal Dunia di SIC," katanya.
Sementara itu, Azhan Shafriman berkata, objektif utama Hari Terbuka SIC hari ini adalah untuk meraikan sokongan penaja dan pelanggan yang diberikan selama ini selain mengumumkan perancangan pihaknya tahun ini. - BERNAMA
#SIC #Litar Antarabangsa Sepang #SIC bukan elit #Azhan Shafriman Hanif
;