SIC lantik operator baharu litar go-kart

Bernama
September 22, 2022 06:45 MYT
Azhan Shafriman Hanif berkata kontrak tiga tahun melibatkan penyediaan kemudahan baharu dan pemasangan lampu di litar itu untuk melanjutkan waktu operasi hingga 2 pagi. - Foto fail/BERNAMA
SEPANG: Litar Antarabangsa Sepang (SIC) mengalu-alukan Autoplay Group (Autoplay) sebagai operator baharu Litar Go-Kart Antarabangsa Sepang (SIKC) yang bakal menarik penggiat go-kart dengan fasiliti baharu.
Ketua Pegawai Eksekutif SIC Azhan Shafriman Hanif berkata kontrak tiga tahun yang ditandatangani dengan Autoplay pada pertengahan Ogos lepas, melibatkan penyediaan kemudahan baharu dan pemasangan lampu di litar itu untuk melanjutkan waktu operasi hingga 2 pagi.
"Kemudahan seperti granstan, tempat duduk dan pejabat perlukan penambahbaikan jadi kami harap Autoplay dapat melaksanakannya memandangkan mereka telah komited untuk melabur.
"Saya harap operator baharu ini menaikkan SIKC ke satu tahap lagi dan mereka boleh menjenamakan litar ini sebagai tempat berkumpul atau gaya hidup yang boleh menarik lebih ramai orang datang ke sini dan bermain go-kart," katanya dalam sidang media di sini pada Khamis.
Katanya, dengan tambahan baharu itu, kedua-dua SIC dan Persatuan Sukan Bermotor Malaysia (MAM) mampu menemui pemandu ko-gart berbakat untuk bertanding dalam kejohanan kebangsaan.
"Memandu go-kart bukannya murah dan ada ibu bapa tidak mahu mengeluarkan belanja. Namun, pihak seperti Autoplay akan mendapatkan pakej penajaan dan ibu bapa boleh datang untuk mencuba," katanya.
Selain itu, Azhan Shafriman berkata lebih 50 peratus tiket MotoGP Malaysia telah dijual.
"Dengan promosi tiket serta aktiviti yang akan diadakan di acara itu dan pengumuman pelumba muda kebangsaan Syarifuddin Azman sebagai wildcard Moto3, akan menarik lebih ramai orang untuk datang," katanya.
Azhan Shafriman yakin SIC akan dapat mencapai sasaran 170,000 pengunjung berdasarkan komitment dan pengalaman luas mereka sebagai penganjur utama kejohanan itu.
-- BERNAMA
#MotoGP #Litar Go-Kart #Azhan Shafriman #operator baharu
;