Sibuk mengawan sampai tak makan, punca singa Zoo Negara jadi kurus
Saraya Mia
Jun 16, 2020 08:00 MYT
Jun 16, 2020 08:00 MYT
Manja Kani, singa tertua di Zoo Negara yang sebelum ini tular kerana kelihatan kurus sebenarnya mengalami penurunan berat badan ketara disebabkan corak pemakanan berubah ketika musim mengawan.
Timbalan Presiden Zoo Negara Malaysia, Rosly Ahmat Lana, berkata singa Afrika jantan berusia 15 tahun itu kadang-kadang tidak makan kerana berusaha untuk mengawan dengan singa betina, Manja Ela.
"Manja Kani dan Manja Ela dalam proses mengawan sejak kebelakangan ini dan itu yang menyebabkan Manja Kani kadang-kadang tidak makan.
"Ini perkara biasa bagi spesies panthera leo namun kes Manja Kani lebih ketara kerana dipengaruhi oleh singa betina yang enggan mengawan, serta perlakuannya memaksa betina untuk mengawan," kata Rosly kepada Astro AWANI, pada Isnin.
Katanya, selain itu, kekurangan bekalan daging dihadapi Zoo Negara disebabkan kekangan pembekal ketika tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan PKP Bersyarat (PKPB) turut menyumbang kepada penurunan berat badan Manja Kani.
"Ketika itu, kami menukar diet kepada ayam kerana bekalan daging berkurangan namun Manja Kani kurang beselera untuk makan. Walaupun begitu, ia sebenarnya sihat," katanya.
Baru-baru ini tular gambar seekor singa yang nampak kurus berbanding singa dewasa biasa di media sosial, sekali gus menimbulkan pelbagai spekulasi berkaitan Zoo Negara.
Menceritakan lanjut mengenai pemakanan, Rosly berkata, Manja Kani agak memilih makanan dan kini semakin berselera selepas diberi daging sejak seminggu lalu.
"Manja Kani agak memilih`, kadang ia suka daging lembu dan bukan ayam, kadang ia suka daging rusa dan bukan daging lembu," tambahnya.
Katanya, Zoo Negara sentiasa memantau selera makan Manja Kani dan berusaha memberinya makanan yang digemari.
Rosly turut memberi jaminan bahawa Manja Kani sihat seperti haiwan lain yang terdapat di Zoo Negara.
Zoo Negara mempunyai tiga ekor singa iaitu dua jantan termasuk Manja Kani dan seekor betina, Manja Ela.
Ujar Rosly lagi, Manja Kani akan terus berada di ruang pameran oleh dan bukan diletakkan di ruang semalaman (night den) kerana ruangan itu hanya bagi haiwan yang memerlukan pemerhatian lebih.