Sibuk mana sekalipun, Salahuddin akan balik kampung jumpa ibu - Adik
Faida Rahim
Julai 24, 2023 12:30 MYT
Julai 24, 2023 12:30 MYT
PONTIAN: Kesibukan memikul amanah sebagai Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup tidak pernah dijadikan alasan oleh Datuk Seri Salahuddin Ayub untuk mengabaikan tanggungjawab sebagai anak.
Sudah menjadi rutin Allahyarham Salahuddin pulang ke kampung setiap dua minggu sekali bagi menyantuni ibunya, Aminah Abdullah yang berusia 83 tahun.
Bukan hanya kasih sayang dan masa yang dikongsi bersama ibu, bahkan, Salahuddin turut memikul tanggungjawab sebagai ketua keluarga khususnya selepas pemergian ayah beliau, Allahyarham Ayub Umar pada tahun 2009.
Perkara itu dikongsi adik Allahyarham Salahuddin Ayub, Ghazaley Ayub yang menyifatkan abangnya itu seorang ahli keluarga yang berperibadi mulia.
Kata Ghazaley, Allahyarham akan tetap pulang ke kampung dua minggu sekali untuk bertemu dengan ibu mereka di Kampung Serkat (Kopi Tenggek), Tanjung Piai, di sini.
"Bila bapa meninggal pada 2009, arwahlah pengganti ayah kepada kami.
"Arwah merupakan sangat prihatin dengan ahli keluarga dan bagaimana padat jadualnya bila dia balik Johor dua minggu sekali itu dia tetap akan singgah balik rumah," katanya kepada Astro AWANI.
Ghazaley mengakui, ibu mereka sudah tentu akan benar-benar merasakan kehilangan ini kerana Allahyarham abangnya itu tidak pernah sekali mengabaikan keluarga.
"Mak masih ada… mak betul-betul rasa kehilangan. Walau sesibuk mana pun, itu (balik kampung) salah satu perkara yang arwah akan lakukan," katanya dalam nada sebak.
Sementara itu, Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamad Hasan memberitahu, Allahyarham Salahuddin yang juga Ahli Parlimen Pulai merupakan seorang yang berdedikasi dan berjasa dalam membantu meringankan beban rakyat dalam kos sara hidup.
"Arwah banyak berjasa dalam meringankan berat beban rakyat yang sedang menghadapi kos sara hidup yang bukan sahaja di Malaysia, tetapi di seluruh dunia.
"Beliau seorang yang amat dedikasi, bukan senang menjadi seorang menteri dalam keadaan Kementerian itu dalam keadaan sekarang. Kita doakan supaya roh Allahyarham dicucuri rahmat," kata Mohamad yang juga Timbalan Presiden UMNO.