Sibuk bercucuk tanam, wanita terselamat daripada kebakaran
Rudi Affendi Khalik
September 1, 2019 18:10 MYT
September 1, 2019 18:10 MYT
Sibuk bercucuk tanam biarpun pada hari yang sepatutnya berehat menyelamatkan seorang wanita daripada kebakaran yang memusnahkan kediamannya di Batu 88, Jalan Selangau-Sibu pagi tadi.
Timbalan Pengarah Bomba dan Penyelamat Negeri, Tiong Ling Hii berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan sekitar jam 10.14 pagi dan sebuah jentera dengan kekuatan tujuh anggota segera diatur gerak ke lokasi dari Balai Bomba dan Penyelamat Tatau.
“ Setibanya pasukan di lokasi iaitu di Rumah Gudan, Sungai Anak, Balingian, mereka mendapati kebakaran seratus peratus melibatkan sebuah rumah kediaman jenis struktur tidak kekal berkeluasan 20x30 kaki.
Mangsa, seorang wanita yang berusia 49 tahun bagaimanapun bernasib baik kerana ketika kejadian, sedang berada di kebun berhampiran untuk melakukan aktiviti bercucuk tanam.
Kebakaran kata Ling Hii, berjaya dikawal sekitar jam 11.10 pagi dan tamat sepenuhnya pada jam 11.43 pagi.
“Tiada kecederaan dan kemalangan jiwa dilaporkan dan punca kes masih disiasat,” tambahnya lagi.
#Balai Bomba dan Penyelamat Tatau
#bercucuk tanam
#Jalan Selangau-Sibu
#Tiong Ling Hii
#Wanita selamat rentung