Sibujaya tidak lagi berimejkan pedalaman

Missel Ernie Bick
Oktober 8, 2023 09:00 MYT
Abang Johari berucap ketika merasmikan Karnival Konsert Sibujaya 2023 di Sibu. - Astro AWANI
SIBU: Tidak lagi berimejkan pedalaman, Sibujaya kini mencerminkan identiti sebuah bandar raya.
Itu gambaran yang diberikan Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg ketika merasmikan Karnival Konsert Sibujaya 2023 di Sibu, pada Sabtu.
"Apabila saya masuk ke Sibu Jaya rasa-rasa saya masuk ke negeri yg lain kerana Sibu Jaya sudah berubah dan landskap pun berubah dengan penuh warna warni.
"Ini menunjukkan bahawa Sibu Jaya bukanlah lagi kawasan yang di dalam pedalaman, seolah-olah sebuah bandar raya yang cantik sekali," katanya.
Katanya lagi, beliau turut kagum dengan gaya hidup penduduk pelbagai kaum di kawasan tersebut, yang seolah-olah hidup di bawah satu bumbung biarpun berlainan bangsa dan agama.
"Saya ucap tahniah kepada orang Sibu Jaya kerana dapat tinggal dalam keadaan yang begitu harmoni sekali seperti masyarakat Iban, Melayu, Melanau dan Cina duduk satu keluarga yang bahagia tidak kira latar belakang.
"Mereka semua dapat hidup bersama bagai satu keluarga di bawah bumbung yang sama dan itulah Sibu Jaya seperti slogan Segulai Sejalai," ujarnya lagi.
Sibu Jaya merupakan sebuah penempatan yang terletak kira-kira 25 kilometer dari bandar Sibu.
Ia dibangunkan oleh perbadanan perumahan sarawak dan Amcorp Properties Berhad di tanah seluas 1,200 ekar pada 1995 dan kini dihuni oleh sekitar 25,000 penduduk pelbagai kaum.
Selain tiga buah sekolah, kawasan ini juga dilengkapi dengan pelbagai kemudahan lain seperti masjid, balai polis, dewan serbaguna, perpustakaan awam, pasar dan tamu, klinik-klinik kesihatan dan taman awam.
Lebih 1,000 orang hadir dalam konsert terbuka tersebut yang turut menampilkan penyanyi Dayang Nurafizah, Hafiz Shuib dan Bob AF.
Tetamu yang turut hadir ke konsert tersebut Timbalan Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat, Datuk Annuar Rapa'ee, Timbalan Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan (Kesihatan Awam dan Perumahan) Sarawak, Michael Tiang Ming Tee dan Pengerusi Eksekutif Kumpulan Amcorp Berhad, Tan Sri Azman Hashim.
#Sibujaya #bandar raya #Abang Johari Tun Openg #pedalaman
;