Sibu mampu jadi hab pengisian methanol hijau untuk perkapalan antarabangsa
Bernama
Februari 18, 2024 10:45 MYT
Februari 18, 2024 10:45 MYT
SIBU: Sibu sebagai pusat industri pembinaan dan pembaikan kapal yang berjaya menembusi pasaran antarabangsa, mampu memainkan peranannya sebagai hab pengisian metanol hijau kepada syarikat perkapalan antarabangsa.
Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata perkara itu dapat dilakukan atas usaha negeri untuk menghasilkan metanol hijau, yang kini mendapat permintaan tinggi di peringkat antarabangsa berikutan peralihan kepada tenaga hijau.
Beliau berkata syarikat perkapalan hari ini menukar enjin kapal mereka kepada yang menggunakan metanol hijau sebagai bahan api, sama seperti kebanyakan bank antarabangsa mengambil kira penggunaan tenaga hijau dalam meluluskan pinjaman.
"Pada masa ini, Sibu banyak mengeluarkan kapal dan (pemilik) mahu menukar enjin daripada menggunakan minyak, kepada enjin menggunakan metanol, jadi sudah tentu mereka memerlukan metanol hijau untuk kapal mereka.
"Ini bermakna anda (industri pembinaan dan pembaikan kapal di Sibu) akan mempromosikan hab pelabuhan kita yang mempunyai kemudahan pengisian bunker untuk syarikat perkapalan antarabangsa," katanya ketika berucap di Rumah Terbuka Tahun Baharu Cina SUPP Sibu 2024, malam tadi.
Abang Johari berkata Sarawak kini sedang giat mengorak langkah ke arah ekonomi hijau dan perlu untuk membuat pelarasan dasar kepada ekonomi hijau yang boleh diubah mengikut keperluan dan kehendak semasa.
-- BERNAMA