SIBS 2023: Peluang usahawan tempatan teroka pasaran ASEAN

Astro Awani
Oktober 20, 2023 16:47 MYT
Sidang Kemuncak Perniagaan Antarabangsa Selangor (SIBS) 2023 merupakan platform kepada usahawan tempatan meneroka pasaran lebih besar terutama di peringkat ASEAN. - Foto SIBS 2023
KUALA LUMPUR: Sidang Kemuncak Perniagaan Antarabangsa Selangor (SIBS) 2023 merupakan platform kepada usahawan tempatan meneroka pasaran lebih besar terutama di peringkat ASEAN.
Rata-rata perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) yang ditemui Astro AWANI mengakui ia bukan sahaja mampu meningkatkan pendapatan, malah memacu ekonomi tempatan.
Pengarah Urusan G&H Cake House, Hariff Ahamat berkata penyertaan SIBS sejak edisi pertama telah berjaya mengembangkan perniagaannya ke pasaran serantau.
“SIBS memang membantu kami untuk memasuki pasaran ASEAN seperti Brunei, Singapura, Kemboja dan Filipina.
“Ia termasuk memenuhi permintaan komuniti Muslim yang berada di negara serantau yang pada ketika ini masih tinggi untuk mendapatkan makanan halal,” katanya ketika ditemu bual Astro AWANI.
Tambahnya, ekspo sebegini bukan sahaja membantu jualan tetapi juga membuka peluang perniagaan melalui rangkaian yang dibina.
“PMKS seperti kami mampu membina rangkaian luas dari pelbagai negara dan bidang melalui penganjuran ekspo sebegini besar,” tambahnya lagi.
Senada dengan itu, Timbalan Pengarah Institut Penyelidikan Produk Halal UPM, Prof Yus Aniza Yusof berkata, SIBS 2023 turut berjaya menarik minat pelabur luar terhadap inovasi terkini dalam sektor kesihatan.
“Produk inovasi saya kini bukan sahaja sekadar bahan penyelidikan akademik, namun mampu untuk dikomersialkan melalui platform SIBS.
“Ia jelas membuktikan komitmen berterusan kerajaan negeri Selangor membantu apa jua bidang dan aspek yang mampu meningkatkan produktiviti rakyat,” tambahnya lagi.
SIBS dibuka kepada orang ramai sehingga Ahad ini dengan menyediakan 1,050 reruai dan jangkaan 50,000 pengunjung termasuk pelawat dari luar negara.
#SIBS 2023 #usahawan #PMKS #PMKS global
;