SIBS 2022 dijangka jana RM350 juta potensi jualan

Eton Khir
Mei 12, 2022 10:43 MYT
Sidang Kemuncak Perniagaan Antarabangsa Selangor 2022 (SIBS 2022) Oktober depan dijangka menarik 30,000 pengunjung, dan menjana sehingga RM350 juta potensi jualan.
KUALA LUMPUR: Sidang Kemuncak Perniagaan Antarabangsa Selangor 2022 (SIBS 2022) Oktober depan dijangka menarik 30,000 pengunjung dan menjana sehingga RM350 juta potensi jualan.
Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Perindustrian dan Perdagangan, Industri Kecil dan Sederhana, Datuk Teng Chang Khim berkata, penganjuran SIBS selama empat hari itu yang kembali pada edisi keenamnya tahun ini diadakan di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) dari 6 hingga 9 Oktober 2022 berikutan kejayaannya mengagumkan tahun lepas.
Jelasnya lagi, tahun ini, SIBS 2022 akan merangkumi pelbagai pameran iaitu Ekspo Antarabangsa Selangor (F&B) ke-8, Ekspo Antarabangsa Selangor (Perubatan) ke-8, Ekspo Perindustrian Selangor Ke-2 (Spark 2022), Persidangan Perniagaan Asean Selangor ke-6 (SABC 2022), Konvensyen Bandar Pintar Selangor ke-7 & Ekonomi Digital (SDEC 2022) dan Ekspo R&D dan Inovasi Selangor ke-3 (SRIE 2022).
"SIBS 2022 akan meneruskan momentumnya dengan anggaran 850 gerai, malah akan menjadikan penganjuran terbesar tahun ini.
"Kami sasarkan untuk mencapai RM350 juta potensi jualan dengan sekurang-kurangnya 30,000 pengunjung hadir dalam edisi tahun ini,” kata Chang Khim dalam sidang media selepas Majlis Invest Selangor Aidilfitri Business Networking 2022 di Shah Alam Convention Centre pada Khamis.
Turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif Invest Selangor, Datuk Hasan Azhari serta Ketua Pegawai Operasi SIDEC, Loo Chuan Boon.
Di samping itu, Chang Kim berkata, SIBS 2022 turut menyasarkan 20 peratus penyertaan perdagangan dari negara luar sekali gus membuka ruang kepada Selangor untuk mengukuhkan kedudukan sebagai destinasi pelaburan pilihan dan kompetitif di Asia.
Sementara itu, Hassan Azhari berkata, SIBS memainkan peranan penting dalam membantu pengeksportan dan pengilang memulakan semula perniagaan mereka dan menembusi pasaran serantau.
"SBS juga menyediakan peluang rangkaian untuk semua peserta merentasi pelbagai sektor untuk bertemu dan bekerjasama menggunakan Selangor sebagai pintu masuk ke ASEAN.
"Selain itu, SBS itu turut menyediakan persekitaran pelaburan dan perniagaan paling kondusif untuk Malaysia secara keseluruhan dan untuk Selangor khususnya.
“Di samping itu, para peserta boleh menggunakan SIBS sebagai platform untuk menjalin rangkaian dengan bakal pelanggan dan rakan kongsi perniagaan dari rantau ini kerana Invest Selangor, cabang pelaburan kerajaan Selangor, akan menjemput dan menjadi tuan rumah kepada pembeli asing untuk menghadiri sidang kemuncak itu serta mengadakan pra-urusan satu lawan satu mesyuarat perniagaan,” katanya.
Tahun ini, SIBS 2021 merekodkan RM217.6 juta potensi jualan rundingan, hampir mencecah rekod jualan SIBS 2019 sebanyak RM247 juta.
SIBS 2021 juga telah melepasi sasaran awal yang ditetapkan iaitu 10,000 pelawat dengan kehadiran 25,410 pelawat, terdiri daripada pemilik perniagaan, pengimport, pemborong, pengedar kepada peruncit dan orang ramai.
Untuk maklumat lanjut dan penyertaan dalam sidang kemuncak itu boleh layari www.selangorsummit.com
#ASEAN #Asia #pelaburan