Siasatan tokoh politik: 'SPRM perlu jalan tugas secara bebas, berkecuali' - Anwar
Bernama
Jun 19, 2023 12:30 MYT
Jun 19, 2023 12:30 MYT
KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) perlu sentiasa menjalankan tanggungjawab dan tugas secara bebas dan berkecuali termasuk melibatkan siasatan terhadap tokoh politik dan bekas pemimpin negara, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Beliau berkata ia sejajar dengan peranan SPRM yang melaksanakan tugas berlandaskan prinsip keadilan dan undang-undang.
"Orang-orang yang menganggap ini siasatan bermotif politik, harus melihat kepada fakta dan bukan sentimen politik untuk kelirukan rakyat.
"Kalau nyata dari segi siasatan ada kes yang dianggap berprofil tinggi dan mempunyai alasan cukup kukuh untuk didakwa itu tugas SPRM dan Jabatan Peguam Negara," kata beliau pada persidangan Dewan Negara hari ini.
Perdana Menteri berkata demikian bagi menjawab soalan Senator A. Kesavadas mengenai sejauh mana SPRM serius untuk menyiasat segala perilaku rasuah dan salah guna kuasa yang melibatkan bekas-bekas Perdana Menteri.