Siasatan terhadap nazir Masjid An-Nur Kampung Melayu Subang selesai
Bernama
Jun 10, 2017 20:01 MYT
Jun 10, 2017 20:01 MYT
Siasatan Panel Jawatankuasa Khas Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) terhadap nazir Masjid An-Nur, Kampung Melayu Subang susulan isu anggota Parlimen Subang, R. Sivarasa berucap di dewan solat telah selesai dan hasilnya sedang diteliti oleh jawatankuasa kariah.
Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) Datuk Mohamad Adzib Mohd Isa berkata jawatankuasa kariah akan bermesyuarat dalam masa terdekat bagi membincangkan tindakan lanjut yang sesuai dikenakan terhadap nazir berkenaan.
"Sebarang tindakan terhadap nazir akan dibuat selepas Aidilfitri seperti yang dititahkan oleh Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah," katanya kepada pemberita selepas Majlis Penyerahan Sumbangan Raya kepada anak-anak yatim Daerah Klang dan Petaling di sini, hari ini.
Pada 2 Jun lepas, Sultan Sharafuddin menzahirkan rasa sangat dukacita dengan tindakan Sivarasa yang menyampaikan ucapan di ruang solat masjid berkenaan dalam satu majlis pada 24 Mei lalu.
Baginda menitahkan agar JAIS menyiasat perkara itu dengan terperinci dan mengambil tindakan lanjut terhadap mana-mana anggota jawatankuasa masjid yang melanggar peraturan.
Sementara itu, ketika ditanya sama ada MAIS bercadang untuk menyenaraikanhitamkan individu tertentu daripada menyampaikan ceramah agama Islam di Selangor, Mohamad Adzib berkata pihaknya akan berbuat demikian selepas Aidilfitri ini.
Namun katanya, senarai nama individu itu akan terlebih dahulu dibincangkan di peringkat jawatankuasa tauliah sebelum dirujuk kepada MAIS.
"Ia (senarai nama) kemudian akan dipersembahkan kepada Sultan Sharafuddin untuk mendapat perkenan baginda sebelum diwar-warkan kepada umum.
"Mungkin senarai nama tersebut akan diumumkan selewat-lewatnya selepas hari raya ini," katanya.
-- BERNAMA