Siasatan terhadap Ismail Sabri tiada motif politik, bukan ikut arahan mana-mana pihak - Azam Baki

Khalis Khadir
Mac 3, 2025 14:27 MYT
Tan Sri Azam Baki menegaskan, siasatan itu dilakukan secara telus dan bukan atas arahan daripada mana-mana pihak. - Gambar/ Astro AWANI/ Shahir Omar
PUTRAJAYA: Siasatan terhadap bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berhubung kes rasuah dan pengubahan wang haram yang dihadapi beliau bukan bermotif politik.
Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki menegaskan, siasatan itu dilakukan secara telus dan bukan atas arahan daripada mana-mana pihak.
“Saya tanya anda semula (wartawan), adakah anda rasa siasatan SPRM terhadap Ismail Sabri ini bermotif politik?
“Saya tidak rasa begitu. Saya kekal dengan prinsip menyiasat dengan profesional dan telus tanpa mengambil kira sebarang darjat atau kedudukan.
“Tiada arahan daripada mana-mana pihak. Kita buat siasatan berdasarkan maklumat dan laporan yang kita terima,” katanya dalam sidang media, di sini, pada Isnin.
BACA: Ismail Sabri adalah suspek, bukan dipanggil sebagai saksi - Azam Baki
BACA: Ismail Sabri dipanggil semula Rabu ini, tunggu kesihatan pulih - Azam Baki
Pada Ahad, SPRM mengesahkan Ismail Sabri disiasat berkaitan kes rasuah dan pengubahan wang haram.
SPRM dalam kenyataan berkata, fokus siasatan tertumpu kepada perbelanjaan dan perolehan dana bagi tujuan promosi serta publisiti semasa Ismail menerajui kerajaan.
SPRM turut mengesahkan telah merampas wang tunai RM170 juta dalam pelbagai mata wang asing serta menyita 16 kilogram jongkong emas tulen dianggar bernilai RM7 juta di beberapa premis.
#ismail sabri yaakob #SPRM #motif politik #terkini #pengubahan wang haram
;