Siasatan tanah runtuh di Hulu Langat bermula

Bernama
November 15, 2012 07:28 MYT
Siasatan sedang dijalankan bagi mengenal-pasti punca insiden tanah runtuh di Menara Tinjau Ampang di jalan Hulu Langat petang Khamis.
Pegawai dari Jabatan Kerja Raya Hulu Langat dan Majlis Perbandaran Kajang turun ke lokasi kejadian jam 9 pagi tadi.
Jurucakap Jabatan Kerjaraya berkata pihaknya masih menunggu laporan forensik sebelum memulakan kerja-kerja pembersihan.
Astro Awani yang membuat tinjauan 6.45 pagi ini mendapati jalan masih ditutup.
Satu tembok halangan turut didirikan bagi menghalang kenderaan dari melalui kawasan tanah runtuh.
Jalan Hulu Langat ditutup sementara bermula semalam.
Ketua Polis Ampang Jaya ACP Amiruddin Jamaludin berkata runtuhan itu dipercayai berpunca daripada hujan lebat beberapa hari lepas.
"Justeru, orang ramai diminta menggunakan jalan alternatif lain," katanya.
Sementara itu, Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor menyatakan runtuhan lereng bukit seluas kira-kira 50 meter persegi itu didapati telah menutupi jalan berkenaan, menyebabkan lalu lintas tergendala.
Dalam sistem pesanan ringkas, jurucakap jabatan itu berkata pihaknya menerima maklumat mengenai runtuhan itu pada 6.11 petang Khamis.
Beliau berkata Jabatan Kerja Raya juga telah menutup keseluruhan jalan dan polis peronda berada di lokasi bagi membantu mengawal lalu lintas.
"Tiada mangsa terlibat dalam kejadian ini," katanya.
#Ampang #Hulu Langat #Menara Tinjau #Polis Ampang #tanah runtuh
;