Siasatan segera diarah mengenai dakwaan Dr Mahathir pesawat disabotaj

Bernama
April 27, 2018 00:34 MYT
Liow berkata kapten dan pemilik jet peribadi itu akan diminta untuk memberi kenyataan mereka.
Kerajaan telah mengarahkan siasatan segera dijalankan terhadap dakwaan yang dibuat oleh Tun Dr Mahathir Mohamad bahawa pesawat peribadi yang hendak dinaikinya ke Langkawi awal hari ini mungkin telah disabotaj.
Menteri Pengangkutan Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata Jabatan Penerbangan Awam telah diarah untuk menyiasat perkara itu.
"Dakwaan ini serius, kami memandang berat dakwaan itu. Pada masa yang sama, kami berharap ini bukan satu drama politik. Ini bukan perkara yang boleh digunakan untuk kepentingan politik," kata beliau dalam satu kenyataan di sini hari ini.
BACA: 'Ada pihak mahu saya mati' - Dr Mahathir
BACA: Tun M dakwa pesawat disabotaj
Liow berkata kapten dan pemilik jet peribadi itu akan diminta untuk memberi kenyataan mereka.
"Ini adalah perkara yang serius mengenai keselamatan penerban gan dan kami tidak mahu sesiapa pun meragui standard dan pematuhan kami," kata beliau.
Beliau berkata setakat ini belum ada laporan yang dibuat oleh juruterbang, kata beliau.
Menurut laporan media, Dr Mahathir mendakwa bahawa juruterbang pesawat yang dinaikinya telah membatalkan penerbangan sejurus sebelum berlepas setelah mengesan beberapa kerosakan dan pembaikan segara tidak dapat dijalankan.
Dr Mahathir sepatutnya menaiki pesawat tersebut ke Langkawi bagi penamaan calon Pilihan raya Umum ke-14 (PRU14) esok apabila beliau bertanding menggunakan logo pembangkang.
-- BERNAMA
#calon #kerajaan #keselamatan #Liow Tiong Lai #Mahathir Mohamad #pembangkang #penerbangan #pesawat #pilihan raya #pilihan raya umum #politik #PRU14 #sabotaj
;