Siasatan salah laku dalam Kementerian Pertahanan bermula selepas Aidilfitri

Bernama
Jun 16, 2018 07:20 MYT
Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu kelihatan sebak ketika menyampaikan ucapan pada majlis penyerahan sumbangan Aidilfitri kepada warga angkatan tentera yang bertugas di perbatasan pada majlis penyerahan sumbangan tersebut baru-baru ini. - fotoBERNAMA
Siasatan semua salah laku dan penyelewengan yang didakwa berlaku dalam Kementerian Pertahanan akan bermula selepas Hari Raya Aidilfitri, kata Menteri Pertahanan Mohamad Sabu hari ini.
Beliau berkata Jawatankuasa Siasatan Khas yang dipengerusikan oleh bekas Ketua Audit Negara Tan Sri Ambrin Buang akan membentuk keanggotaan dalam jawatankuasa itu selepas Aidilfitri.
"Jawatankuasa itu baru diluluskan di peringkat kabinet dan Ambrin akan bentuk keanggotaan dalam jawatankuasa lepas raya sebelum mulakan siasatan," katanya selepas ditemui dalam Majlis Rumah Terbuka Hari Raya Aidilfitri di kediamannya di Kampung Guar Petai hari ini.
Majlis itu turut dihadiri oleh Menteri Kewangan Lim Guan Eng, Anggota Parlimen Gelang Patah Lim Kit Siang dan kepimpinan Pakatan Harapan negeri.
Mohamad berkata Jawatankuasa Siasatan Khas itu akan menyiasat semua salah laku dan penyelewengan dalam semua kementerian termasuk Kementerian Pertahanan.
Anggota Parlimen Kota Raja itu yang terkenal dengan panggilan 'Mat Sabu' berkata kementeriannya sedia untuk memberikan kerjasama kepada Jawatankuasa Siasatan Khas itu bagi membantu siasatan.
"Saya dengar ada skandal dalam kementerian, jadi kami bersedia untuk memberikan segala maklumat yang ada untuk membantu siasatan," katanya.
Beliau turut yakin dengan kewibawaan Ambrin, yang mampu menjalankan tanggungjawab berat itu.
"Beliau (Ambrin) merupakan bekas ketua audit, jadi dia mampu membuat forensik audit dan penyelidikan dengan baik," katanya.
Tambahnya, setakat ini, tiada sebarang tempoh masa ditetapkan untuk siasatan itu. - BERNAMA
#Aidilfitri #Ambrin Buang #Jawatankuasa Siasatan Khas #kabinet #Kementerian Pertahanan #Lim Guan Eng #Lim Kit Siang #Mohamad Sabu #Pakatan Harapan #siasatan