Siasatan rasuah terhadap empat bekas pegawai kanan bekas PM masih di peringkat awal - SPRM
Bernama
Februari 24, 2025 23:06 MYT
Februari 24, 2025 23:06 MYT
SPRM turut meminta orang ramai memberi ruang kepada agensi itu untuk menjalankan siasatan secara adil, telus dan profesional serta mengelakkan sebarang spekulasi yang boleh menganggu proses siasatan.
KUALA LUMPUR: Siasatan terhadap empat bekas pegawai kanan kepada bekas Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang ditahan reman pada Jumaat kerana disyaki terlibat dalam rasuah, masih di peringkat awal.
Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dalam kenyataan hari ini memaklumkan bahawa siasatan sedang dijalankan di bawah Seksyen 16(a) Akta SPRM 2009 dan Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA).
"SPRM masih belum dapat mendedahkan sebarang penemuan berhubung kes ini, termasuk nilai wang atau aset yang dijumpai. Kami juga tidak menolak kemungkinan beberapa saksi lain akan dipanggil untuk membantu siasatan," menurut kenyataan itu.
SPRM turut meminta orang ramai memberi ruang kepada agensi itu untuk menjalankan siasatan secara adil, telus dan profesional serta mengelakkan sebarang spekulasi yang boleh menganggu proses siasatan.
Pada Jumaat lepas, SPRM menahan reman empat pegawai yang dikaitkan dengan bekas perdana menteri itu selepas perintah reman dikeluarkan oleh Majistret Irza Zulaikha Rohanuddin di Mahkamah Putrajaya.
Menurut sumber rapat SPRM, tiga daripada individu terbabit direman selama lima hari bermula Jumaat, manakala seorang lagi direman selama tiga hari dan telah dibebaskan pada Ahad (23 Feb).
-- BERNAMA