'Siasatan punca kebakaran HSA siap dalam tiga minggu' - Subramaniam
Wan Syamsul Amly
November 3, 2016 13:28 MYT
November 3, 2016 13:28 MYT
Siasatan terperinci punca kebakaran di Hospital Sultanah Aminah (HSA) Oktober lalu mungkin memerlukan tempoh tiga minggu lagi untuk selesai.
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr S. Subramaniam berkata, laporan itu akan digunakan pihaknya untuk mengambil langkah seterusnya terhadap status HSA.
Jelasnya, ia juga akan menentukan kedudukan pembaikan HSA serta bentuk pemulihan yang akan dilakukan.
"Tentang punca kebakaran itu, ia masih disiasat bomba. Itu tanggungjawab mereka untuk mencari punca kebakaran.
"Apabila kita sudah tahu punca nanti akan diserahkan kepada kementerian dan kita akan lihat kesan kepada kerajaan dan kos untuk dibaiki," katanya kepada media di lobi Parlimen di sini hari ini.
Sebelum ini, Subramaniam menjelaskan, laporan lengkap daripada Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) berhubung kejadian kebakaran di HSA dijangka siap dalam tempoh 14 hari selepas kejadian itu berlaku.
Kejadian kebakaran HSA menyebabkan enam pesakit terdiri dari empat wanita dan dua lelaki maut manakala seorang lagi terselamat dalam kebakaran di tingkat dua unit rawatan rapi (ICU) selatan hospital berkenaan.
Sebelum ini, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mahu Suruhanjaya Siasatan ditubuhkan bagi menjalankan siasatan terperinci kejadian kebakaran di HSA.