Siasatan profesional dan telus terhadap kematian Zulfarhan Osman
Bernama
Jun 5, 2017 23:57 MYT
Jun 5, 2017 23:57 MYT
Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) yakin satu siasatan profesional dan telus sedang dijalankan berhubung kematian Zulfarhan Osman Zulkarnain yang meninggal dunia dipercayai didera, Khamis lalu.
UPNM dalam satu kenyataan hari ini berkata mereka yang bertanggungjawab akan dibawa ke muka pengadilan.
Katanya, pihak universiti tidak dapat memberi maklumat lanjut berhubung kejadian itu memandangkan pentadbiran dan disiplin Pegawai Kadet adalah di bawah bidang kuasa Akademi Latihan Ketenteraan (ALK), unit di bawah Markas Angkatan Tentera Malaysia.
"Lembaga Penyiasatan ditubuh khas untuk menyiasat kejadian ini dan diketuai oleh pasukan dari Angkatan Tentera Malaysia (ATM).
Menurut kenyataan itu, UPNM akan terus memberi fokus kepada kecemerlangan akademi dan penyelidikan di samping melahirkan graduan berkualiti dan berkebolehan.
"Ini sesuai dengan ciri-ciri kepimpinan yang mendorong kepada kebolehpasaran graduan yang tinggi. Pihak universiti amat berbangga dengan pencapaian dan kejayaannya sejak dinaiktaraf sebagai Akademi Angkatan Tentera Malaysia pada November 2006," kata kenyataan itu.
UPNM merakamkan ucapan takziah kepada keluarga Allahyarham Pegawai Kadet Laut Zulfarhan Osman dan semoga rohnya dicucuri rahmat serta ditempatkan dalam kalangan orang-orang beriman.
Zulfarhan Osman, 21, Pegawai Kadet Laut UPNM meninggal dunia di Hospital Serdang, kira-kira 10 malam, Khamis lalu dengan kesan lebam dan melecur pada badan.
Kematiannya disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan susulan kejadian itu, polis mereman 36 penuntut UPNM dan Uniten berusia 20 hingga 21 tahun selama tujuh hari sehingga Jumaat ini bagi membantu siasatan.
-- BERNAMA
#Lembaga Penyiasatan
#meninggal dunia
#tentera
#Universiti Pertahanan Nasional Malaysia
#Zulfarhan Osman Zulkarnain