Siasatan pinda laporan audit 1MDB dijangka siap sebelum akhir tahun
Diyana Ibrahim
Disember 5, 2018 07:00 MYT
Disember 5, 2018 07:00 MYT
Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menjangkakan kertas siasatan laporan Jabatan Audit Negara mengenai 1Malaysia Development Berhad (1MDB) akan dapat disiapkan sebelum hujung tahun ini untuk diserahkan kepada Peguam Negara.
Menurut sumber, SPRM akan memanggil bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Razak pada Khamis (6 Disember) untuk hadir membantu siasatan.
Dedah sumber itu kepada Astro AWANI, setakat ini, SPRM sudah memanggil beberapa saksi untuk dirakam keterangan berkaitan siasatan itu.
Antara yang telah dipanggil bekas ketua pegawai eksekutif 1MDB Arul Kanda Kandasamy, bekas ketua audit negara Tan Sri Ambrin Buang, bekas pesuruhjaya SPRM Tan Sri Dzulkifli Ahmad.
“Selain itu SPRM sudah panggil bekas ketua setiausaha negara Tan Sri Ali Hamsa termasuk beberapa pegawai audit negara dan beberapa pegawai Kementerian Kewangan.
“Ramai sudah dipanggil oleh itu SPRM menjangkakan dapat melengkapkan kertas siasatan selewat- lewatnya hujung tahun ini dan kemudian akan diserahkan kepada Peguam Negara,” katanya yang enggan mendedahkan identitinya.
Siasatan berhubung laporan audit negara mengenai 1MDB dibuka susulan daripada pendedahan Ketua Audit Negara Tan Sri Madinah Mohamad.
Katanya, Najib sendiri yang membuat arahan itu dalam mesyuarat bertarikh 22 Februari 2016.
Mesyuarat tersebut dihadiri Ali Hamsa, bekas ketua setiausaha sulit perdana menteri Shukry Salleh dan Ambrin Buang.
Polis turut mengesahkan melalui siasatan awal mendapati berlaku pindaan pada Laporan Akhir Pengauditan 1MDB.
Pindaan itu membabitkan penyata kewangan 1MDB bagi tahun 2014 dan untuk menggugurkan perenggan berkaitan kehadiran Low Taek Jho atau Jho Low dalam salah satu mesyuarat lembaga pengarah 1MDB.
Laporan akhir Jabatan Audit Negara mengenai 1MDB turut dibentangkan kepada Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) pada 2016.
Selain SPRM, PAC turut membuka siasatan mengenai dakwaan pindaan laporan 1MDB.
#1Malaysia Development Berhad
#1MDB
#Ali Hamsa
#Ambrin Buang
#Arul Kanda Kandasamy
#Dzulkifli Ahmad
#Jabatan Audit Negara
#Najib Razak
#SPRM
#Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia