Siasatan penuh bot karam Belaga

Bernama
Mei 28, 2013 23:09 MYT
Lembaga Sungai Sarawak (LSS) akan menjalankan siasatan penuh kemalangan hari ini membabitkan bot ekspres yang karam di Sungai Rajang, kata Pengerusinya Datuk Roland Sagah.
Beliau berkata LSS tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan sewajarnya terhadap pengusaha bot ekspres yang tidak mematuhi nasihat agar tidak melebihi kapasiti atau membenarkan penumpang
memanjat bumbung apabila bot itu telah terlalu padat ketika menyusuri sungai itu.
"Saya melahirkan perasaan sedih atas apa yang berlaku dan bersimpati dengan mereka yang terlibat dalam kejadian bot karam ini," kata Sagah, yang juga Timbalan Speaker Dewan Undangan Negeri Sarawak kepada Bernama di sini hari ini.
Sehingga kini 181 penumpang berjaya berenang menyelamatkan diri selepas bot malang itu karam di Jeram Tukok/Jeram Bungan, kira-kira empat jam perjalanan menghilir sungai dari Sibu.
Beliau berkata siasatan awal LSS mendapati bot ekspres itu yang dipercayai terlebih muatan membawa kira-kira 200 penumpang untuk pulang menyambut Hari Gawai, mengalami kerosakan enjin sebelum menghempas batu dan tenggelam.
Mengenai gesaan pelbagai pihak meminta anggota LSS ditempatkan di beberapa kawasan pedalaman termasuk Bakun dan Belaga untuk memantau keadaan sebelum perayaan utama, Sagah berkata ia sedang menunggu kelulusan untuk menubuhkan pejabat di dua lokasi itu, yang boleh diakses melalui sungai Rajang.
Beliau berkata pengusaha telah dinasihatkan menyediakan jaket keselamatan yang mencukupi untuk penumpang kerana ia adalah kemestian bagi mereka memakai jaket keselamatan di dalam bot terbuka.
#Belaga #lembaga sungai sarawak #roland sagah #Sungai Rajang