Siasatan, pendakwaan di bawah Akta Hasutan bebas campur tangan kerajaan - Fahmi

Irfan Faruqi
Ogos 28, 2024 16:38 MYT
Fahmi Fadzil mengadakan sidang media selepas melakukan tinjauan persiapan menjelang sambutan Hari Kebangsaan 2024 pada raptai Hari Kedua Sambutan Hari Kebangsaan 2024 di Dataran Putrajaya hari ini. - Bernama
KUALA LUMPUR: Semua siasatan dan pendakwaan di bawah Akta Hasutan yang sedang berjalan dilaksanakan secara bebas oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Peguam Negara (AGC) tanpa tekanan atau penglibatan daripada pentadbiran kerajaan.

Ringkasan AI
  • Siasatan dan pendakwaan bebas: Semua siasatan dan pendakwaan di bawah Akta Hasutan dilakukan oleh PDRM dan AGC tanpa campur tangan kerajaan.
  • Kes Muhyiddin Yasin: Kes ini adalah hasil laporan polis oleh Istana Pahang, bukan kerajaan.
  • Pertimbangan pindaan Akta Hasutan: Akta Hasutan adalah untuk melindungi institusi Raja-raja Melayu.

Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil menegaskan, kes yang dihadapi oleh Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin adalah lanjutan daripada laporan polis oleh pihak Istana Pahang.
"Sejumlah kes yang telah dibawa ke mahkamah berkaitan isu hasutan khususnya berkait dengan ahli Parlimen Pagoh, Tan Sri Muhyiddin Yassin, bukan berdasarkan laporan daripada pihak Kerajaan. Sebaliknya hasil laporan polis yang dibuat oleh wakil Istana Pahang.
"Pihak kerajaan tidak masuk campur dalam hal ini. Siasatan dilakukan oleh pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan pendakwaan dibuat berdasarkan siasatan tersebut. Pihak kerajaan tidak terlibat," katanya.
Beliau berkata demikian dalam Sidang Media Mingguan Menteri Komunikasi dan Sambutan Hari Kebangsaan 2024 di sini hari ini.
Tambahnya, pendakwaan yang dihadapi oleh Muhyiddin adalah sama dengan pendakwaan yang dikenakan terhadap Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor yang didakwa mengeluarkan kenyataan bersifat menghina Sultan Selangor.
Ditanya mengenai pendirian kerajaan untuk meminda Akta Hasutan, Fahmi yang juga Ketua Penerangan Keadilan berkata perkara itu dalam pertimbangan Jemaah Menteri dan diteliti oleh pihak Kementerian Dalam Negeri (KDN).
“Kita pada ketika ini belum membincangkan mengenai Akta Hasutan. Ada beberapa perkara yang diberi pertimbangan. Saya minta rujuk Menteri Dalam Negeri untuk perincian atau Menteri Undang-undang dan Reformasi Institusi,” ujarnya.
Jelasnya, pendirian kerajaan ialah Akta Hasutan dikuatkuasakan bagi memastikan institusi Raja-raja Melayu kekal berdaulat dan dilindungi daripada tohmahan yang dilontarkan oleh mana-mana pihak termasuk orang politik.
Pada Selasa, Muhyiddin yang juga Presiden Bersatu didakwa berkaitan kenyataan menghasut berkenaan dakwaan beliau yang tidak dijemput oleh Yang di-Pertuan Agong selepas Pilihan Raya Umum ke-15 untuk mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri walaupun dikatakan mempunyai sokongan 115 daripada 222 Ahli Parlimen pada masa itu.
Manakala pada 18 Julai 2023, Sanusi didakwa dibawah akta yang sama berkaitan tuduhan mengeluarkan kata-kata hasutan berhubung lantikan Menteri Besar Selangor dalam sebuah ceramah politik.
[LIVE] Sidang Media Mingguan dan Sambutan Hari Kebangsaan 2024 | 28 Ogos 2024
#akta hasutan #Fahmi Fadzil #Raja-raja Melayu #Sultan Selangor #Perikatan Nasional #Muhammad Sanusi Md Nor #Yang di-Pertuan Agong #Muhyiddin Yassin